Tuesday, 20 August 2013

Kereta Jenazah Bergerak Sendiri

Kereta Jenazah Bergerak Sendiri
Sampai 3 hari bau minyak dicampur air mandi limau masih wangi sekali pun mandi digosok sabun. Haji Basar  tahu minyak yang dicampur dalam air limau Ucu Semali sekadar minyak biasa yang di beli di kedai mamak. Apa sangat minyak wangi berkenaan kalau disapu pada kulit apabila dijadikan losyen semata - mata. Setelah dibasuh atau mandi, nescaya bau minyak berkenaan akan hilang serta merta. 

Tetapi Ucu Semali bancuh minyak berkenaan dalam air mandi limau setelah menunggu malam diserkup sepi. Sebaik sahaja Ucu Semali memotong limau yang dipetik 3 biji pada satu tangkai, dia memberi isyarat supaya Haji Basar  meletakkan duit sebanyak 25 sen ke dalam piring berisi limau berkenaan. 

Setelah air di dalam baldi siap dibancuh, limau juga siap dipotong, segera Ucu Semali padamkan lampu biar di dalam rumah menjadi gelap. Tetapi Haji Basar  nampak melalui kilauan cahaya lampu yang terpasang di dapur rumah, Ucu Semali telah membakar setanggi. Lama dia terconggok di depan asap setanggi lantas Ucu Semali pun menyeru : assalamualaikum ya rijal ghaib, assalamualaikum ya ruhul-qudus, ya ghausnya nya ya muhan ya nuqbah ya nujabar ya akhyar ya autad ya amud ya hosilalmurad wahosilal maksud...". 

Kemudian Ucu Semali merungut - rungut bagaikan bercakap tidak menentu. Memang Haji Basar  dapat mengagak tentu Ucu Semali dapat melihat apa sahaja lembaga di depannya kerana sekali sekala dia bagaikan menyuruh lembaga itu kemana- mana. Dia akan menunggu beberapa ketika seolah - olah untuk mendapatkan laporan yang diperlukannya. 

Hampir setengah jam Ucu Semali merungut - rungut, lantas dia meminta pasangkan lampu semula. Selepas itu dia menyuruh Haji Basar  berdiri di cucur atap lalu terus dijirus dengan air mandi limau itu dari tingkap serambi. Memang sejuk juga Haji Basar  akibat dijirus air tatkala tengah malam, tetapi dia terpaksa mematuhi apa sahaja kemahuan Ucu Semali.
Lama sangat dia merasakan seolah - olah rezekinya tersekat sehingga perniagaannya semakin menurun. masakan tidak semena - mena sahaja segala peluangnya bagaikan tertutup rapat. Memang siapa pun tidak percaya apabila dia mengalami kebuntuan akibat wang ditangannya tidak membawa keberkatan langsung. 

Tahu sangat Haji Basar  wang perniagaannya tidak pernah susut, tetapi dia sentiasa mengalami kesempitan. Kadangkala dia sendiri tidak menyedari bagaimana berbelanja sehingga wang di dalam dompetnya sering kehabisan. Kereta juga sentiasa meragam hingga tayarnya bocor setiap 3 hari sekali. 

" Tak tahulah Ucu nak buat macam mana " ujar Ucu Semali apabila Haji Basar  memberitahunya mengenai kejadian yang menimpa dirinya. 

" Berniaga saya rasanya tak jatuh, tapi wang habis tak tahu ke mana! " keluh Haji Basar  disebabkan tidak tertahan lagi menahan kerusuhan hati. 

" Kalau berniaga tak rugi macam mana pula sempit rezeki? " memang Ucu Semali tidak dapat mengagak masalah yang ditanggung oleh Haji Basar . 

" Tak tahulah saya Ucu, ada saja yang tak kena " tutur Haji Basar  apabila kenangkan keretanya yang selalu rosak itu. Selang 3 hari sekali tayar kereta bocor, pintu kereta pula terkunci tidak boleh dibuka. apabila dibawa ke bengkel, tidak ada apa - apa kerosakkan pun. 

" Ikut pengalaman Ucu, tak pernah berlaku macam ni " jelas Ucu Semali yang serba salah juga mahu membantu setelah Haji Basar  menjengah ke rumahnya di kawasan felda berkenaan.
" Macam mana pun, Ucu cubalah! " desak Haji Basar  semacam meletakkan harapan yang tinggi pada ucuc semali. 

Tatkala Ucu Semali mula membakarkan setanggi, sekali gus terasa seluruh badannya geli geleman seolah - olah badannya dilumuri minyak. Cepat - cepat Ucu Semali mengisar duduk lantas menepuk kepala lututnya 3 kali. Sebaik sahaja Ucu Semali melihat bayangan pejabat Haji Basar , terkejut dia seolah - olah dinding pejabat juga dilumuri minyak hingga tercium bau harum. 

Tersenyum Ucu Semali disebabkan bau minyak yang harum itu menjadikan pejabat Haji Basar  bagaikan tenggelam di tengah ombak minyak yang mengalir di celah dinding laksana mata air pada tebing telaga. Jikalau mata air berkenaan disumbat, nescaya akan terus juga terpancut bagaikana tidak dapat ditahan - tahan. 

Ketika itulah Ucu Semali duduk lantas berzikir hingga terasa tubuhnya melayang - layang ke udara. Serentak dengan itu, dia melihat disekelilingnya terlalu ramai lelaki berkeliling. Tidak bertangguh Ucu Semali pun menyuruh semua lelaki yang menjelma di depannya itu supaya menutup mata air yang memancut minyak wangi pada dinding pejabat Haji Basar  itu. 

Setelah geli geleman di seluruh tubuhnya itu beransur hilang, segera Ucu Semali mengisarkan duduknya. Lantas dia pun menghelakan nafas lalu terus memberi isyarat supaya lampu dipasangkan semula. Menggeleng - geleng lemah dia tetapi dia tidak mahu memberitahu apa - apa kepada Haji Basar  setelah melihat keadaan di pejabatnya itu.
Apabila Ucu Semali jiruskan air mandian limau itu, memang dia tidak benarkan Haji Basar  lapkan air itu dengan tuala. Biarlah air yang dijirus ke tubuh itu berbintik - bintik sampai kering sendiri. Rambut juga dibiarkan tidak disisir disebabkan bimbangkan air mandi limau itu tua apabila menitik dihujung rambutnya. 

Sebab tu bau minyak berkenaan melekat pada rambut Haji Basar . Tatkala beliau balik ke rumah, dia terus rebahkan badan ke katil. Sekali gus pula isterinya, Hajah Rusijah  terbau minyak wangi berkenaan sampai melekat bau itu ke bantal. 3 hari pula Hajah Rusijah  terbau wangi bantal itu sekali pun sudah dijemur di anjung rumah. 

Tersengih - sengih Hajah Rusijah  mengejek Haji Basar  tatkala menghadap sarapan pagi apabila memberitahu mengenai bau minyak wangi yang melekat pada bantal itu. Tetapi Haji Basar  tidak peduli sangat sama ada isterinya mengejeknya atau tidak. Manalah isterinya tahu mengenai keadaan di pejabatnya yang tiba - tiba sahaja bagaikan malap tidak berseri apa - apa. 

Kalau tidak kenang kawannya, Wak Damus  ingatkan dia supaya tidak terburu - buru sangat mengambil keputusan mahu menutup perniagaannya, memang sudah lama Haji Basar  tinggalkan pejabatnya. Biarlah dia terperosok di rumah mengharapkan anak - anaknya membantu, setelah perniagaan yang sekian lama dikendalikannya itu tiba - tiba sahaja menghadapi masalah. 

Dia tahu perniagaannya tidaklah jatuh merudum. Segala - galanya masih berjalan dengan baik hinggakan mereka yang berniaga dengannya tidak pernah culas membayar. Tetapi duit ditangannya selalu sahaja habis tidak menentu. Dia sendiri sudah tidak tahu bagaimana mahu tuliskan buku akaun akibat daripada perasaannya yang sentiasa rusuh itu.
" Ahh! minyak wangi biasa " sahut Haji Basar  yang tidak peduli sangat dengan usikan isterinya itu. 

" Arwah ayah dahulu pun gunakan minyak wangi macam tu " tersengih - sengih Hajah Rusijah  disebabkan bau minyak wangi yang digunakan pada air mandian limau Haji Basar  masih berbau harum. 

" Emmm...dia gunakan untuk apa? " berkerut dahi Haji Basar  apabila isterinya ungkit fasal minyak yang digunakan oleh arwah bapa mentuanya. 

" Setahu saya, arwah ayah dulu buat minyak senyonyong " jelas Hajah Rusijah  bagaikan curiga dengan air mandi limau yang dijiruskan oleh Ucu Semali itu. " Sebab itu arwah ayah beristeri sampai 4 " beritahu dia selanjutnya apabila kenangkan arwah ayahnya, Andak Bucin  yang berkahwin sampai 4 itu. 

Terkekeh - kekeh Haji Basar  ketawa sebaik sahaja Hajah Rusijah  sebut mengenai arwah ayahnya yang berkahwin 4 itu. Lantas sahaja Haji Basar  menuduh tentu isterinya juga bimbang dia mandi air limau disebabkan mahu berkahwin lain. Asal sahaja bertemu Ucu Semali jauh di kawasan Felda, tentu bertujuan mahu memikat sesiapa. Sebab itu Haji Basar  terasa sangat geli hatinya apabila Hajah Rusijah  menyindir sedemikian. 

Takat mencari minyak senyonyong, tidak perlulah dia bersusah payah meranduk kesepian malam untuk menemui Ucu Semali. Memang arwah bapa mentuanya sudah berikan dia minyak senyonyong biar mudah laris tatkala berniaga apa pun. Sesiapa sahaja yang berurusan dengannya, sudah tentu akan menuruti keputusannya sebaik sahaja minyak tersebut disapukan pada alis mata terus ke atas bibir.
Memang bapa mentuanya Andak Bucin  ingatkan Haji Basar  supaya tidak salah gunakan minyak senyonyong berkenaan. Kalau digunakan untuk memikat perempuan, nescaya minyak senyonyong berkenaan sekadar seronok mahu berkahwin sampai empat isteri sahajalah. Haji Basar  sendiri menyedari Andak Bucin  beristeri sampai 4 orang, tetapi berniaga tiada satu pun yang menjadi. 

disebabkan tidak boleh digunakan untuk berniaga, lantas sahaja Andak Bucin  bekerja sebagai tukang kayu. Apabila dia berikan minyak senyonyong itu pada Haji Basar , dia sudah ingatkan fasal niat yang tertanam di kalbu sebaik sahaja diturunkan kepada menantunya. Lantas sahaja Haji Basar  tanamkan niat jauh di lubuk hati mahu gunakan untuk berniaga semata - mata. 

Setiap kali malam bulan mengambang penuh, Haji Basar  akan asapkan botol minyak berkenaan dengan kemenyan sampai berturut - turut 3 malam. Dia akan melihat akar serai bunga di dalam botol itu, akan berpusing di tengah minyak yang berbuih sebaik sahaja diasap dengan kemenyan. Sekali gus pula akar serai itu akan bertukar warna menjadi kebiru - biruan apabila asap kemenyan itu melabun di tengah rumah. 

Cubalah sesiapa sahaja berurusan niaga dengannya, mencari helah tidak mahu membayar wang yang dituntut. Tatkala dengar suara Haji Basar  di dalam telefon sahaja nescaya hati akan menjadi gementar. Tidak bertangguh mereka akan memberikan janji mahu membayar sebelum Haji Basar  sempat bertanya apa - apa.
" Minyak senyonyong ayah jikalau disalah gunakan, memanglah untuk memikat perempuan aje! " ujar Haji Basar  di hujung ketawanya sengaja menyindir isterinya.
" Jadi, arwah ayah dulu salahgunakan minyak senyonyong tu? " lantas Hajah Rusijah  mencebek bibir kerana menyangka suaminya tidak tahu apa - apa pun mengenai minyak senyonyong berkenaan.
" Entahlah, tapi kalau nak kahwin sampai 4 tak payah pakai minyak senyonyong pun boleh”  jelas Haji Basar  sambil tersengih - sengih mengulum senyum disebabkan dia sudah berjanji dengan arwah bapa mertuanya untuk merahsiakan fasal minyak berkenaan yang diturunkan kepadanya.
Bukan mudah Andak Bucin  mahu turunkan minyak senyonyong yang mengalir keluar dari pada rumpun serai bunga itu, kalau Haji Basar  tidak mahu rahsiakannya. Tentu anaknya, Hajah Rusijah  akan mengalami nasib yang sama seperti emaknya yang hidup bermadu sekiranya Haji Basar  tidak menyimpan rahsia mengenai minyak senyonyong yang ditampung tatkala keluar meleleh di rumpun serai bunga.
Bangga sangat Andak Bucin  apabila dia menemui rumpun serai bunga di tengah hutan lalu dibawa balik dan ditanam di hujung halaman. Beberapa kali juga Andak Bucin  mengendap sewaktu malam bulan tengah mengambang penuh apabila tercium bau harum laksana bunga cempaka gugur ke tanah.
Lantas disuluhnya ke perdu rumpun serai bunga itu setelah rumpun serai bunga itu bergegar kuat. Tersentak Andak Bucin  apabila melihat minyak meleleh pada perdu rumpun serai berkenaan. Cepat - cepat dia tadahkan tempurung disebabkan bau minyak berkenaan sangat semerbak harumnya. Dia simpan baik - baik minyak berkenaan dengan akar serai bunga yang jatuh ke dalam tempurung tidak dibuang satu pun.
Apabila isterinya menanyakan mengenai minyak di dalam tempurung yang berbau harum itu, terus sahaja Andak Bucin  memberitahunya minyak senyonyong. Tergamam isterinya sebaik sahaja diberitahu bahawa minyak senyonyong keluar meleleh pada perdu rumpun serai bunga. Sewaktu isterinya menjengah perdu rumpun serai berkenaan, dia semakin terkejut apabila melihat beberapa butir batu berwarna - warni berlonggok di situ. 

Disebabkan dia menyimpan batu batu berwarna warni itu, isterinya tidak marah apabila Andak Bucin  berkahwin lagi. Apa lagi, batu berwarna - warni itu akan bertambah sekiranya dia jualkan kepada jiran - jirannya. sampailah beliau meninggal dunia, tiba - tiba sahaja batu berwarna - warni berkenaan hilang entah ke mana. Serai bunga yang dijaga baik - baik oleh Andak Bucin  juga pupus tidak bersebab. 

Setelah diturunkan kepada Haji Basar  minyak senyonyong tersebut, Andak Bucin  ingatkan menantunya supaya tidak memberitahu sesiapa pun mengenai minyak senyonyong berkenaan. Bimbang benar dia mahu serahkan pada anak - anak lelakinya yang lain takut mereka berbangga sangat hingga memikat sesiapa sahaja perempuan yang menarik perhatiannya. 

" Boleh jadi minyak senyonyong arwah ayah dulu, awak yang simpan? " segera Hajah Rusijah  menuduh disebabkan bau air mandi limau suaminya seakan - akan bau minyak senyonyong yang disembunyikan oleh ayahnya. Tahu sangat Hajah Rusijah  mengenai minyak berkenaan disebabkan dia pernah terserempak di dalam peti kayu di bawah kolong. 

" Hus, kalau ada pada aku, tentu aku kahwin 4! " ujar Haji Basar  sengaja berdalih.
Ketika ini lah mereka berdua dikejutkan dengan bunyi sorak sorai anak - anak di luar pagar rumah. Lantas sahaja Hajah Rusijah  menerpa ke pintu hadapan rumah hinggakan tidak peduli lagi fasal minyak senyonyong yang dibangkitkan di depan suaminya itu. Sebaik sahaja dia menjengah keluar, Hajah Rusijah  tidak melihat seorang pun kanak - kanak yang bersorak di luar pagar rumahnya itu. 

Tetapi dia terkejut apabila melihat sebuah kereta jenazah tersergam di luar pagar rumahnya. Belum pun sempat dia memanggil Haji Basar , lantas sahaja suaminya tercegat di belakangnya. Segera Haji Basar  membukakan jeriji pintu untuk memastikan memang betul kereta jenazah itu berhenti di hadapan rumahnya. 

Ketika Haji Basar  berjalan mendekati pintu pagarnya, kereta jenazah itu terus bergerak meninggalkan kawasan rumahnya. Hajah Rusijah pula ternampak kereta berkenaan bergerak secara sendiri tanpa kelibat pemandunya. Hairan juga Haji Basar  apabila diberitahu oleh isterinya mengenai kereta jenazah itu bergerak dengan sendiri dengan tidak ada pemandunya. 

Apabila hal itu diberitahu kepada jiran - jirannya, mereka juga terkejut. Tidak ada sesiapa pun yang melihat kereta jenazah itu berhenti di luar pagar rumah Haji Basar  tatkala mereka sedang bersarapan pagi. Sewaktu mereka menjengah ke tepi pintu pagar, memang bekas tayar kereta ternampak timbul pada tanah pasir di situ. 

" Saya tidak nampak sebuah pun kereta berhenti di situ, abang haji " ujar Fahzi  jiran yang dekat bersebelahan rumah. memang sejak selepas solat subuh Fahzi  bersenam di hadapan rumahnya. Sekiranya kereta jenazah berkenaan berhenti di hadapan pagar rumah Haji Basar , memang dia yang akan mula - mula melihatnya.
" Eeh, takkan lah saya bermimpi! " gerutu Haji Basar  semacam tidak percaya apabila diberitahu sedemikian oleh Fahzi . 

" Sejak selepas subuh memang saya di halaman rumah ini " jelas Fahzi  yang mengakui nampak Haji Basar  menerpa ke pintu pagar secara tergesa - gesa. 

" Siapa pula yang meninggal dunia? hingga kereta jenazah tersalah rumah" lantas Mat Sutin mencelah setelah diberitahu fasal kereta jenazah pagi - pagi lagi berhenti di hadapan pagar rumah Haji Basar . 

" Memang saya dengar suara budak - budak bersorak " sahut Hajah Rusijah  menjelaskan apabila jiran - jiran memberitahu tidak melihat seorang pun kanak - kanak di situ. Kalau kanak - kanak bersorak pun, tentu anak - anak mereka yang sudah ke sekolah semenjak selepas subuh lagi. 

Tetapi berturut - turut 3 pagi pula mereka di situ dikejutkan dengan kereta jenazah yang berhenti tersergam di depan pintu pagar rumah Haji Basar . Tidak sampai 2 minit kereta berkenaan berhenti, cepat - cepat sahaja ianya akan bergerak. Memang Fahzi  juga tidak dapat melihat kelibat pemandu kereta itu apabila ia bergerak meninggalkan pintu pagar tersebut. 


No comments:

Post a Comment