Monday, 19 August 2013

sambung

" Jari Mat Senik  bergerak - gerak " gerutu beberapa orang yang sudah bersiap sedia mahu terjun di tingkap rumah.
" Mayat takkan boleh bergerak lagi!! " salah seorang yang berundur ke serambi pula memberitahu mereka berceratuk di tengah halaman rumah pula. 

Serentak dengan itu, seisi rumah menjadi gempar apabila diberitahu yang jenazah Mat Senik  sudah bingkas bangun. Sekiranya waktu itu tengah malam ketika jenazah Mat Senik  menggerakkan jari, memang tidak ada sesiapa pun yang akan bertahan di situ. Disebabkan ia waktu siang dan belum pun pukul 11 pagi, maka mereka tidaklah terbebar sangat. Setidak - tidaknya Siak Deraman   juga tidak berganjak berhadapan dengan jenazah yang sedang dimandikan itu. 

Tidak lama selepas jari jenazah Mat Senik  bergerak - gerak, lantas tangannya pula bergerak - gerak bagaikan mahu mencapai sesuatu. Kemudian dia mengagaru - garukan siku lalu terus terbersin perlahan. Cepat - cepat Siak Deraman berlutut disisi jenazah abangnya mahu memastikan sama ada mayat atau Mat Senik  yang bingkas bangun itu. 

" Kenapa pula orang ramai hadap aku ni? " tercengang - cengang Mat Senik  apabila dia duduk termengah - mengah. 

Tetapi Siak Deraman   tidak menyahut. Segera dia papah semula Mat Senik  ke tempat tidur disebabkan tenaganya masih lemah. Memang terkejut mereka yang berkumpul dirumahnya apabila diberitahu bahawa Mat Senik  yang sudah terkejang mati itu, tiba - tiba sahaja bingkas bangun. 

" Kami sangka awak sudah meninggal " beritahu Alang Kimin  serba salah apabila didesak oleh Mat Senik  supaya menceritakan hal yang sebenarnya ramai saudara berkumpul di rumahnya.
Menggeleng kepala Mat Senik  sambil beristighfar. Di dalam keadaan lemah itu segera Mayah menyudukan bubur ke mulutnya setelah 3 hari dia tidak menjamah sebarang makanan. Memang Mat Senik  juga tidak menyangka bahawa keadaan dirinya sudah dianggap mati oleh sanak saudaranya. Dia sendiri tidak tahu apa - apa setelah tiang rumah yang sedang didirikannya itu disungkit oleh lembaga besar belakang berbonggol itu. 

Ketika ini Surip Lekeh yang mengetuai kerja menggali kubur juga sudah diberitahu mengenai Mat Senik  yang disangka sudah mati itu bangun semula. Sekali pun Mat Senik  masih di dalam keadaan lemah, tetapi tubuhnya tidak cedera apa - apa akibat dihempap oleh kayu - kayu rumah yang jongkang kalang itu. 

" Kalau begitu, kubur yang sudah siap digali kena ditanamkan dengan batang pisang " ujar Pawang Jimin  mengingatkan Surip Lekeh  supaya mengambuskan tanah kubur mesti diisi liang lahadnya. Tidak boleh liang lahad dibiarkan kosong setelah siap digali. Tahu sangat Pawang Jimin  mengenai pantang larang sejak turun temurun itu. 

Petaka akan menimpa seisi kampung sehinggalah 7 hari berturut - turut orang meninggal dunia akibat tanah kubur dikecewakan. Pawang Jimin  tetap ingat pesanan arwah datuknya, Pawang Manuk apabila kubur siap digali tetapi jenazah tidak dikebumikan. 

Tiba - tiba sahaja Itam Damat  yang disangkakan mati, bingkas bangun tatkala kubur sudah siap digali. Seisi kampung menyangkakan Itam Damat  sudah terkejang mati setelah ditemui tidak sedarkan diri sambil tersandar pada pokok leban apabila balik dari berburu di hutan. Memang Itam Damat  pergi berburu tidak pernah mengajak kawan - kawan disebabkan kegemarannya bersendirian sahaja. 

Sehari semalaman dia tidak balik ke rumah, segera orang - orang kampung jejaki dia ke hutan. Tatkala ditemui, beliau tersandar di perdu pokok leban sambil tercangkung memeluk tombaknya. lantas Pawang Manuk pun diberitahu mengenai Itam Damat  sudah ditemui tidak sedarkan diri semasa berburu di hutan.
Belum sempat Pawang Manuk kibas dengan kain hitam untuk 3 petang berturut - turut, dia sudah diberitahu bahawa Itam Damat  sudah meninggal dunia. Dalam masa orang - orang kampung bersiap - siap untuk mengebumikannya, tiba - tiba sahaja Itam Damat  menarik kain selubungnya. dia terus terkuap - kuap laksana bangun dari tidur sahaja, lalu terus turun ke telaga untuk berkumur - kumur. memang dia tidak mempedulikan sangat mengenai jiran - jirannya yang sedang bersiap - siap untuk mengebumikan jenazahnya itu. 

Sebaik sahaja naik ke atas rumah, lantas sahaja Itam Damat  meminta isterinya siapkan sarapan minum paginya. terkejut benar Itam Damat  apabila isterinya memberitahu bahawa dirinya sudah dikatakan terkejang meninggal dunia. Ketika itu barulah dia memberitahu Pawang Manuk bahawa dirinya sudah tersesat jalan di dalam hutan hingga meranduk kawasan yang penuh sesak dengan rumpun buluh. Di mana - mana sahaja rumpun buluh bertaup rapat hingga dia tidak dapat menemui jalan keluar. Semakin jauh dia melangkah, hutan buluh bertambah luas laksana lautan terbentang. 

Terpaksa pula dia mencari lorong di celah rumpun buluh berkenaan. setelah puas mencari jalan keluar, akhirnya Itam Damat  sudah sampai dihalaman sebuah rumah yang diperbuat daripada buluh yang tumbuh merimbun itu. Tatkala dia sedang terpinga - pinga itu, dia telah mendengar bunyi siut buluh bergesel ditiup angin lalu tiba - tiba muncul seorang perempuan tua yang menggerbang rambutnya dari muka pintu. 

Lantas dia pun memujuk perempuan tua itu supaya menunjukkan jalan balik kepadanya. namun perempuan tua itu berkeras tidak mahu menunjukkan jalan keluar kepadanya disebabkan Itam Damat  sudah menceroboh tempatnya. Disebabkan itu marah benar Itam Damat  apabila diperdayakan sedemikian. Ketika dia menghentakkan tumit ke tanah terus dia membacakan : " qaulan wafi'lan inna bathsyo rabbika lasyadidun wallahu min-waro-ihim muhidz, balhuwa qur-anun majidun fi-lohim mahfoz, summum bukmum 'umyum fahum layarji'un, summum bukmum 'umyum fahum laya'qilun, summum bukmum 'umyum fahum layatakallamun, summum bukmum 'umyum fahum layobsirun ".
Sekali gus angin pun bertiup kencang hingga banyak rumpun buluh yang tercabut tidak bertampan. Menjadi gerun perempuan tua itu apabila rumahnya juga telah diserbu angin kencang tersebut hingga menyebabkannya terpaksa berpaut pada jenang pintu. Berbuai - buai perempuan tua itu itu bergayut akibat kakinya telah terangkat dielus angin bagaikan kain tersangkut yang berayun - ayun. 

Merungut - rungut perempuan tua itu marah kerana menyangka Itam Damat  mudah diperdayakan. Sebaik sahaja angin kencang reda, lantas sahaja menjelma lelaki besar laksana gajah terconggok. Itam Damat  dapat melihat belakang lelaki itu berbonggol - bonggol apabila dia berjalan terjengket - jengket. 

Lantas lelaki bongkok itu pun membentak marah kepada perempuan tua kerana mencuba hendak menguji Itam Damat . Dia memberi isyarat kepada perempuan tua itu supaya masuk ke dalam rumah dan tidak lagi menjengah di situ. Sebaik sahaja perempuan tua itu hilang di balik pintu, segera lelaki bongkok bertubuh besar itu mengajak Itam Damat  supaya duduk. 

Tetapi Itam Damat  tidak mahu menerima pelawaan lelaki berkenaan. dia ingatkan lelaki itu supaya menunjukkan jalan keluar kepadanya dengan tidak bertangguh. Terpaksalah lelaki bongkok itu mematuhi kemahuan Itam Damat  itu. Memang Itam Damat  dapat merasakan dia melihat lorong di celah - celah rumpun buluh yang terus sahaja mengarah ke halaman rumahnya. Tatkala kakinya melangkah mahu menaiki tangga rumahnya, dia merasakan ada kain selubung yang menyerkupnya. 

Sebaik sahaja dia membuangkan kain yang menyerkup mukanya itu, Itam Damat  mendapati dia sedang terbaring bagaikan mayat sedang dibujurkan. Ketika bingkas bangun inilah, Itam Damat  telah terkuap - kuap akibat letih disamping keletihan kerana lama sangat tersesat di tengah rumpun buluh. Sebab itu dia berasa hairan apabila diberitahu sudah terbujur menjadi mayat sejak semalaman.
Apabila Itam Damat  yang sudah disangkakan mati itu kembali bangun dalam keadaan sihat, orang - orang kampung segera mengambuskan semula tanah kubur yang sudah digali itu tanpa disumbatkan dengan batang pisang sebagai ganti. Belum pun menjelang petang, tiba - tiba sahaja Usin Kaduk  meninggal dunia akibat jatuh tangga tatkala menyerbu ayam yang sedang mematuk padi jemurannya. marah benar Usin Kaduk  disebabkan ayam - ayam itu tetap tidak berundur apabila beliau menghalaunya dari tepi tingkap. lantas sahaja Usin Kaduk  mahu terjun ke tengah halaman yang menyebabkan kakinya tersandung pada bendul. 

Sekali gus pula dia terhumban ke kaki tangga dengan rusuknya tersendal pada anak tangga. dia tidak boleh bergerak sehingga sesak nafas tercungap - cungap. terpaksa pula isteri dan anak - anak memapahnya naik ke atas rumah dalam keadaan lemah tidak bertenaga. tidak lama selepas itu pun Usin Kaduk  terkejang tidak bernyawa sebelum sempat Pawang Manukdipanggil untuk menjampikan. 

Selepas kematian Usin Kaduk , 7 orang penduduk kampung telah meninggal dunia secara berturut - turut dalam masa seminggu. setelah kematian 7 orang secara berturut - turut itulah Pawang Manuk tidak semena - mena telah bermimpi melihat jelmaan lelaki tua yang berjubah putih. lantas jelmaan lelaki tua itu telah mengingatkan dia supaya tanamkan batang pisang setelah kubur digali tidak dikebumikan dengan mayat yang terbujur. 

" Jangan biarkan tanah kubur tak diisi " beritahu Pawang Jimin  setelah kubur telah siap digali tetapi Mat Senik  yang disangkakan mati bingkas bangun semula. segera dia menyuruh Surip Lekeh tetakkan batang pisang lalu dimasukkan ke dalam liang lahat untuk menggantikan jenazah yang tidak jadi dikebumikan. 

Tatkala mereka sedang mengheret batang pisang itu, Siak Deraman   diberitahu bahawa Aki Lagah  pula yang meninggal dunia setelah lama terkejang sakit. mereka semua memang tahu Aki Lagah  yang sudah berusia hampir 100 tahun sudah berbulan - bulan terkejang sakit akibat terlalu tua. Dia sudah tidak mampu lagi bergerak disebabkan kakinya sudah terlalu lemah dan tidak boleh dijejakkan lagi.
Tidak hairan sangat pada mereka apabila diberitahu bahawa Aki Lagah  meninggal dunia setelah lama terkejang sakit. setelah diberitahu bahawa Aki Lagah  meninggal dunia, segera Siak Deraman   beritahu tidak payahlah dikambus tanah kubur yang sudah siap digali itu. mereka sekadar perlu mengukur baik - baik jenazah Aki Lagah  supaya sesuai dengan kubur berkenaan. 

" Tak ada apa - apa kejadian ganjil selepas Aki Lagah  dikebumikan, ustaz " jelas Mat Senik  yang menuturkan secara perlahan dalam suara yang lemah akibat terlalu uzur. Dia tetap kenangkan kejadian dia disangka sudah meninggal dunia hingga digali kubur bertahun - tahun dahulu. Memang Siak Deraman   sendiri yang memberitahu kepada saya mengenai kejadian yang menimpa abangnya itu. 

Tetapi Mat Senik  tidak tahu apa - apa setelah dia terhumban hingga ditindih dengan kayu rumah yang runtuh itu. dia hanya sekadar ingat lembaga besar belakang berbonggol itu yang menyungkit kaki tiang hingga rumah berkenaan terbalik runtuh. Kalau dia sempat melompat turun, memang Mat Senik  tidak akan mengalah. Bila - bila sahaja dia akan mencekak tengkuk lembaga bertubuh besar umpama gajah itu sekali pun terpaksa bergelut berhempas pulas. 

" Dah lama benar kejadian itu berlaku, ustaz " beberapa kali Siak Deraman   beristighfar disebabkan dia sendiri yang sedang memandikan jenazah ketika itu. " Tapi, Abang Senik sekarang ni memang sakit " ujarnya setelah diberitahu mengenai abangnya terkejang sakit sudah berminggu - minggu. 

Bimbang juga anaknya, Andak Kasim jika kejadian yang berlaku bertahun - tahun dulu terhadap ayahnya akan berulang kembali. Sebab itu dia desak saya datang menjengah tatkala ayahnya sudah terkejang sakit sehingga berminggu - minggu. Manalah tahu kalau sakit terkejang itu sekadar mahu mengelirukan mereka sekeluarga. 

" Siak Deraman   pun berpengalaman, tentu dia lebih tahu " tutur saya sambil mengerling kepada Siak Deraman  . Dalam wajahnya yang sudah dimamah usia itu, Siak Deraman   tetap tenang mendesak abangnya supaya berzikir mengingatkan Allah yang maha mengetahui segala yang nyata dan yang tersembunyi.

No comments:

Post a Comment