Monday, 19 August 2013

sambung

Malamnya setelah Pak Bakok balik ke rumah, Siti memberitahu kejadian yang menimpa Mak Pilin. Tetapi Pak Bakok tidak memperlihatkan rasa kasihan dengan apa yang berlaku ke atas diri Mak Pilin. Dia juga tidak berusaha untuk mengubat kaki Mak Pilin. Sejak itulah Mak Pilin menjadi lumpuh. Dia berjalan dengan menginsut punggung.
Kerja-kerja di rumah tetap dilakukan seperti biasa. Pak Bakok tidak mahu dia membebankan kerja-kerja rumah pada Siti. Manakala Pak Bakok sehari-harian kerjanya pergi menyabung ayam. Jadi, terserahlah kepada Mak Pilin membuat kerja-kerja membasuh, memasak dan mencari kayu api.
Rupa-rupanya kemarahan Pak Bakok menjadi-jadi disebabkan dia kalah bersabung. Tapi nasibnya baik, apabila seluar kupam yang telah dibasuh oleh Mak Pilin itu dipakainya dia sentiasa menang bersabung ayam. Dia terlalu sayang dengan seluar tersebut, walaupun kelihatan kupam.
Siti tidak berani lagi masuk campur sekiranya Pak Bakok memarahi Mak Pilin. Dia tidak mahu berlaku lagi apabila dengan pengakuannya membasuh seluar itu telah menyebabkan Pak Bakok bertambah marah, padahal tujuannya adalah untuk meneyelamatkan Mak Pilin.
Setelah beberapa lama Mak Pilin menjadi lumpuh, satu hari sampailah masanya Siti pun meninggal dunia. Sedih juga hati Mak Pilin kerana Siti yang baik hati meninggal dunia. Anak-anak Siti yang ditinggalkan juga belumlah dewasa lagi.
Pak Bakok pula tidak lama selepas kematian Siti, dia bernikah lagi dengan seorang janda. Sejak berkahwin dengan janda itu Pak Bakok mengikut apa saja perintah isterinya. Sampaikan anaknya dengan Siti pun terbiar. Terpaksalah Mak Pilin mengambil berat akan nasib anak-anak Siti.
Setiap hari dia terpaksa membasuh kain yang bertimbun-timbun. Janda itu bernama Encom kadangkala bertindak lebih garang dari Pak Bakok sendiri terhadap Mak Pilin.
Di parit anak sungai itulah Mak Pilin membasuh kain. Dia menginsut punggung untuk membasuh kain. Kadangkala anak-anak Siti tiga orang yang berumur 5, 3 dan 2 tahun itulah menemankan dia ke parit berkenaan. Kebetulan satu pagi dia ke parit itu bersama-sama anak Siti tiga orang untuk membasuh kain. Encom menyuruh budak-budak itu membantu Mak Pilin membasuh.
Ketika sedang membasuh itu sehelai kain kesayangan Encom telah dihanyutkan air. Apabila menyedari kain itu hanyut anak Siti yang berumur 5 tahun bernama Minah terus menghilir air untuk mencari kain tersebut. Dia telah pergi bersama dua orang lagi adiknya.
"Biar aku cari ke hilir Mak Tua..." kata Minah meminta izin untuk pergi mencarinya.
"Tak payahlah..." Mak Pilin berkeras tidak membenarkan.
"Biar Mak Tua saja mencarinya. Kau semua tunggu di sini" ujarnya hiba.
"Mak Tua susah nak berjalan, biarlah aku cari" Minah ketakutan akibat kain tersebut hanyut tidak mereka sedari. "Nanti Mak Encom marah, kalau kain tu hilang" dia tetap mahu mencari kain yang hanyut itu.
Mahu tidak mahu Mak Pilin terpaksa juga membenarkan Minah bersama adik-adiknya menghilir sungai mencari kain yang hanyut itu. Setelah matahari tegak di kepala dia menunggu, Minah tidak juga balik. Dia mulai bimbang kerana Minah tidak balik semula ke situ. Tentulah suaminya menjadi berang kalau Minah tiga beradik tidak balik, sementara Encom pula akan merampus bila didapati kain kesayangannya hanyut tidak ditemui.
Terpaksalah Mak Pilin menginsut punggung menghilir sungai untuk mencari Minah tiga beradik. Perkara kain Encom hilang tidak menjadi soal lagi kepadanya. Dia mesti mencari Minah sampai dapat. Semasa menghilir sungai ini, Minah bersama tiga orang adiknya sudah pun menemui kain yang hanyut itu tersangkut pada rumpun aur. Tetapi apabila mudik semula ke hulu, dia tidak mengikut jalan sungai itu, sebaliknya naik ikut jalan darat supaya cepat sampai semula. Bimbang juga dia kalau-kalau Mak Pilin terlalu lama menunggu.
Apabila dia sampai ke tempat Mak Pilin membasuh didapati oleh Minah kain baju sudah siap berbasuh, tetapi Mak Pilin tidak ada. Puas dia menunggu Mak Pilin tidak juga muncul, Minah juga mengajak adik-adiknya balik untuk memberitahu perkara itu kepada ayahnya.
Sejak itulah Mak Pilin tidak lagi balik-balik ke rumah. Pak Bakok pula cuba juga menghilir parit tersebut untuk mencarinya, tetapi tidak bertemu kesannya.
Akhirnya dengan hasutan Encom, dia pun melupakan saja ke mana hilangnya Mak Pilin. Dengan kehilangan Mak Pilin itu terpaksalah Minah yang baru berumur lima tahun itu mengambil alih tugasnya membasuh, memasak dan mencari kayu api. Encom hanya memerintah saja, sementara Pak Bakok tidak berani membantah perbuatan Encom.
Satu hari semasa Minah membasuh di tempat yang selalu digunakan menjadi pengkanlan, dia ternampak Mak Pilin menginsut punggung mudik. Cepat-cepat dia berkejar mendapatkan Mak Pilin.
"Ke mana Mak Tua selama ni?" Minah menangis teresak-esak.
"Janganlah Minah menangis..." pujuk Mak Pilin. "Jagalah adik-adikmu baik-baik. Kau tak ada emak, tak ada Mak Tua lagi" dia mengusap-ngusap rambut anak kecil itu.
"Marilah kita balik Mak Tua" Minah mengajaknya. "Mak Tua tak boleh balik lagi" beritahu dia kepada Minah. "Mak Tua dah tak sama lagi dengan Minah" ujarnya memujuk anak kecil itu.
Walaupun Minah masih kecil, tetapi pada Minahlah dia menceritakan apa yang telah terjadi. Semasa dia menghilir mencari Minah tiga beradik dia sudah berjalan terlalu jauh, sambil menginsut-insut punggung itu dia meraba-raba juga di tepi parit kalau kain kepunyaan Encom tersangkut di situ.
Hinggalah sampai ke satu pondok di tepi sungai di hilir yang tidak tahu di mana, seorang lelaki tua menunggu Mak Pilin di situ. Lelaki tua itu berjanji boleh mengubati kaki Mak Pilin yang lumpuh dengan syarat mesti bernikah dengannya. Mak Pilin memberitahu tentang suaminya Pak Bakok, oleh itu adalah mustahil untuk berkahwin lain.
Tetapi lelaki tua itu memberitahu bahwa kain Encom ada di tangannya. Dia akan memulangkan dengan syarat Mak Pilin mesti menjadi isterinya. Dia tertarik hati pada Mak Pilin kerana hatinya terlalu jujur kepada suami. Sebab itulah dia mahu sangat menikahi Mak Pilin, walaupun perempuan itu sudah tua.
Disebabkan takut dimarahi Pak Bakok, di samping kain Encom yang hilang itu pada lelaki berkenaan, maka Mak Pilin terpaksa menerima syarat tersebut. Bagaimanapun dia tidak dibenarkan balik semula pada Pak Bakok. Dengan janji itulah kain berkenaan ditemui semula oleh Minah, yang terlebih dahulu menghilir mencarinya sebelum Mak Pilin menghilir.
Memang Mak Pilin memerhatikan kain tersebut diserahkan oleh lelaki tua itu kepada Minah yang pada sangkaan Minah dia menemui kain tersebut tersangkut pada ranting aur. Sebenarnya Mak Pilin sudah dinikahi oleh puaka sungai berkenaan yang sekian lama telah memerhatikan keadaan kehidupan Mak Pilin suami isteri.
"Kalau Mak Tua mudik ke hulu itu tandanya Mak Tua nak makan" dia memberitahu Minah.
"Kalau Mak Tua menghilir, Mak Tua nak main-main aje" itulah pesan Mak Pilin pada anak tirinya.
Sebelum pergi Mak Pilin mengingatkan Minah supaya tidak terkejut kalau ditegur oleh Mak Pilin. Kalau Minah terkejut tidak dapatlah Mak Pilin mengetahui akan siapakah Minah sebenarnya, kerana dia sendiri memang tidak ada keturunan. Hanya Minah dianggapnya sebagai keturunan dia.
"Mak Tua tak akan mengganggu Minah" jelasnya.
Sejak itu hilanglah Mak Pilin dari pandangan Minah. Sebagaimana sumpahnya apabila dia mudik parit berkenaan, maka adalah mangsanya. Sebaliknya kalau ada yang menghilir, maka mangsanya akan lumpuh. Demikianlah kisah Angut Lumpuh yang diceritakan oleh Tok Sheikh.
"Sayalah keturunan dari Minah itu..." beritahu orang tua berserban yang memimpin Zuki.
"Jadi, Tok Sheikh pun tak suka dengan perbuatan Angut Lumpuh?" saya menduga.
"Iya..." dia mengangguk lemah. "Tapi, saya tak boleh menghalangnya. Cuma saya akan selamatkan mangsanya, itu saja" jelas dia tenang.
"Mengapa pula?" soal saya. "Sebab dia tidak menjadikan anak cucu Minah sebagai mangsanya" ujar orang tua berjubah dan berserban putih itu.
"Mana dia nak tau anak cucu Minah?" saya mendesak lagi. "Kalau tidak terkejut bila ternampak dia, itulah tandanya anak cucu Minah" beritahunya tersenyum mengerling ke arah saya.
"Bolehkah saya bertemu dengan Angut Lumpuh?" saya memberanikan hati bertanya kepada Tok Sheikh itu.
“Memang anak seorang yang berani..! kata Tok Sheikh itu tidak menjawab pertanyaan saya. Dia pun menyerahkan Zuki kepada saya lantas menghilangkan diri. Heran juga saya mengapa dia tidak mahu menjawab pertanyaan saya untuk bertemu dengan Angut Lumpuh atau Mak Pilin yang sudah diperdayakan oleh syaitan itu.
Bagaimanapun saya tidaklah mengesyaki yang Mak Pilin itu bertemu dengan puaka sungai seperti yang diceritakan oleh Tok Sheikh. Kemungkinannya ialah dia mati lemas semasa menghilir parit itu. Sebenarnya Mak Pilin itu sendiri yang bertukar menjadi puaka di situ di sungai tersebut.
Ketika saya mahu membawa Zuki balik, saya ternampak seorang nenek tua lumpuh menginsut punggung mudik ke hulu. Matanya merah menyala seperti api. Mukanya kelihatan garang seolah-olah menyimpan dendam. Kelihatan dia terlalu payah mahu menginsut punggungnya.
Saat inilah Tok Sheikh yang menghilang tadi muncul di hadapan saya. Dia memegang tongkat rotan beruas songsang itu di tangannya.
"Angut jangan ganggu Zuki ni!" kata Tok Sheikh perlahan. "Dah masuk ke tangan, takkan nak lepaskan" suaranya bergetar seperti menyimpan dendam.
"Tak usahlah Angut, dah banyak sangat mangsa Angut" Tok Sheikh mengeraskan suara.
"Kau jangan masuk campur!" jerkah Angut Lumpuh.
"Saya kata jangan, janganlah Angut..." Tok Sheikh memberi amaran. "Kalau Angut berkeras, saya juga akan berkeras" tegasnya lalu menghentakkan tongkat rotan beruas songsang itu ke tanah.
Terjerit Angut Lumpuh menekup dadanya dengan tangan. Kenudian dia melompat bertukar menjadi asap berkepul mahu menerkam ke arah Tok Sheikh. Tetapi Tok Sheikh tidak melepaskan tongkatnya yang tercancang di tanah. Asap berkepul itu tidak dapat menerpa.
Dia berlegar-legar mahu menerkam. Bagaimanapun dia tidak dapat merapati Tok Sheikh kerana tongkat itu tetap tercancang di situ. Sekali sekala suara jerit Angut Lumpuh bergema juga menahan kesakitan. Melihatkan keadaan tersebut saya pun mengambil kesempatan lalu membacakan lanarjumannakum, menyebabkan panahan api datang menerjah beratus-ratus.
Angut Lumpuh terpekik-pekik menepis panahan api yang menerjah ke arahnya.
"Saya dah cakap, Angut jangan mengganggu lagi...!" seru Tok Sheikh melihat asap berkepul-kepul itu jatuh semula ke dalam parit. Terkial-kial Angut Lumpuh menginsut punggung. "Angut tidak akan diganggu, kalau Angut tidak mengganggu orang" jelas Tok Sheikh mengingatkan.
 Angut Lumpuh mengerang-ngerang kesakitan. Dia masih tidak berputus asa mahu menerkam balik. Tetapi tongkat rotan beruas songsang yang tercancang di tanah itu membuatkan dia menekan-nekan dadanya. Tongkat tersebut seolah-olah menusuk ke dadanya.
Lama dia terkial-kial menekup dadanya barulah dia menghilir semula dengan hampa. Selepas dia menghilang, Tok Sheikh berpaling ke arah saya, "Bawalah budak ni balik. Insya Allah semuanya akan selamat..." beritahu Tok Sheikh itu kemudian pergi dengan tidak meninggalkan apa-apa pesan.
Beberapa kali Pak Cu Jabat menepuk bahu saya, barulah saya membuka mata. Dia memicit tengkuk saya, sambil menghembus ubun-ubun saya. Betul-betul saya keletihan.
"Berani sangat ustaz berjalan jauh..." bisiknya ke telinga saya. Baru saya sedari bahawa Pak Cu Jabat memang tahu saya sudah terlalu jauh melepasi had yang sepatutnya.
Saya menceritakan pengalaman saya kepada Pak Cu Jabat selepas itu. Kata Pak Cu Jabat bahawa Tok Sheikh yang saya temui itu memang tok akinya yang telah meninggal dunia berpuluh tahun dulu. Akinya memang seorang ulama yang pernah belajar agama di Sumatera. Dari Pak Cu Jabat juga saya mendapat tahu dia memang keturunan Minah anak tiri Angut Lumpuh itu.
Selepas Zuki pulih semula dia juga menceritakan dirinya telah dikurung di satu pondok buruk. Tidak lama kemudian datang Tok Sheikh itu membawa dia keluar dari pondok berkenaan. Angut Lumpuh cuba merampasnya dari Tok Sheikh, tetapi Tok Sheikh terus membawa dia lari.
"Saya fikir elok juga carikan saya rotan beruas songsang" saya memberitahu Pak Cu Jabat.
Pak Cu Jabat tersenyum. "Itulah pun musuh dia..." katanya. Dia tidak menceritakan lebih lanjut mengenai rotan beruas songsang itu. Tetapi saya memang sudah mengagaknya, kerana Tok Sheikh itu saya lihat memegang tongkat dari rotan beruas songsang.

No comments:

Post a Comment