Monday, 19 August 2013

sambung

"Eloklah tu, ayam Aki memang mengekas dekat sini selalunya, nanti terkena pula ayam nenek lagi" ujarnya tersenyum sambil mengelek ayamnya dibawa balik.
Besoknya apabila Daboh datang lagi ke situ didapatinya tempat pondok orang tua yang ditunjukkan kepadanya semalam hanya belukar teberau saja. Bulu ayam yang reras kerana menggelupur semasa terkena jeratnya juga memang bulu ayam denak. Inilah puncanya Daboh meradang seolah-olah dipermainkan oleh orang tua itu.
Dia telah mengambil ketul-ketul batu membalingkan ke arah belukar teberau yang dilihatnya ada pondok. Betul-betul meradang benar hati Daboh kerana jeratnya yang sudah mengena, tetapi ditipu oleh orang tua berkenaan. Daboh masih berpegang kuat bahawa tidak ada badi pada ayam denak, sebaliknya dia telah ditipu oleh orang tua yang dilihatnya semalam.
Kepada Mat Jol dia menceritakan apa yang dilihatnya. Sejak itulah dia selalu termenung, kerana teringatkan peristiwa bertemu dengan orang tersebut. Dia berdendam kepada orang tua yang berpura-pura ramah dan baik hati itu, sebaliknya telah menipu dia.
"Mengapa kau tak beritahu Dukun Sood semasa aruah ni sakit?" soal Lajis kesal dengan sikap Mat Jol merahsiakan kejadian tersebut.
"Dia tak beri aku cakap dengan orang lain" jelas Mat Jol mempertahankan dirinya.
"Kau tak boleh dengar cakap dia" gerutu Lajis.
"Ah, sudahlah. Dah tak ada apa-apa lagi nak ungkit-ungkit" Sarip Kubung memarahi mereka berdua. "Sekarang ni dia dah tak ada, tak guna lagi sebut fasal-fasal yang sudah" tegasnya.
Daboh selamat dikebumikan. Mak Leha yang paling sedih dengan kematian  Daboh, kerana itulah satu-satunya anak bujangnya yang tinggal bersama dia. Ketiadaan Daboh bererti dia tinggal kesepian. Memang dia boleh tinggal di rumah Sarip Kubung, tetapi apalah gunanya memberatkan bebanan anaknya yang sudah berkeluarga itu.
Malam selepas Daboh dikebumikan terdengar sayup-sayup dari kuburnya  seperti merintih-rintih semasa dikurung dalam pasung kayu. Mak Leha memberitahu perkara itu kepada Sarip Kubung. Disebabkan rumah Mak Leha memang berhampiran dengan tanah perkuburan, maka suara itu jelas kedengaran kepadanya.
Pada malam kedua, Sarip Kubung bersama dengan Lajis dan Mat Jol datang melihat ke kubur itu setelah Dukun Sood menyuruhnya membacakan Yassin di atas kubur.
Mereka bertiga bergilir-gilir membacakan Surah Yassin sejak pukul enam petang lagi sehingga sampai maghrib. Waktu maghrib masuk saja terdengar lagi rintihan dari kuburmya meminta pertolongan. Setelah dijiruskan air Yassin rintihan itu mengendur. Tetapi rintihan itu berulang lagi kalau diberhentikan membaca Yassin dan dijiruskan dengan air Yassin di atas kubur.
Hingga hampir masuk waktu Isya' rintihan itu tidak kedengaran lagi. Mereka bertiga pun balik ke rumah, kerana Dukun Sood menyuruh mereka mengulangi sehingga 7 malam. Disebabkan tidak ada lagi rintihan dari kubur Daboh, mereka mengambil keputusan untuk balik. Malam esoknya akan diulangi lagi membaca Yassin.
Sampai saja di rumah Sarip Kubung mendapati isterinya Jibah tidak sedarkan diri pula. Kelam-kabut dia kerana tidak satu, satu bala datang menimpa. Baru saja kematian adik, isteri pula sakit.
Malam esoknya disebabkan Jibah sakit, terpaksalah Sarip Kubung tidak pergi membacakan Yassin seperti yang disuruh oleh Dukun Sood.
"Macam kena kelintasan Jibah ni" keluh Dukun Sood melihat buih hijau keluar dari mulut perempuan itu.
"Hus, bala apa pula ni" Sarip Kubung menggertap bibir mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya itu.
"Sabarlah Sarip" kata Dukun Sood. Mak Leha juga menasihati Sarip Kubung supaya bersabar. Sanak saudara Jibah juga menyuruh bersabar.
Tetapi Sarip Kubung tidak dapat menahan sabar. Manalah hatinya tidak remuk dengan kejadian di kubur adiknya yang merintih-rintih meminta tolong darinya, Jibah pula tiba-tiba saja kelu lidah dengan muntah hijau meleleh dari mulut.
"Jibah, kena badi juga ke?" Sarip bertempik melepaskan geramnya. Memang selalunya Daboh akan mengirimkan dia daging kijang atau rusa sekiranya kena perangkap. Apakah orang yang makan daging binatang hutan juga akan dihinggap badinya?
"Sarip,sabarlah. Bawa astaghfar..." pujuk ayah mertuanya yang turut bersedih kerana anaknya sendiri sakit mengejut.
Orang-orang mula menduga mungkin kerana Sarip Kubung cuba menolong adiknya, maka badi tersebut menyerang Jibah pula. Sebab itulah sebaik saja Sarip Kubung membaca Yassin di atas kubur Daboh, tiba-tiba saja Jibah tidak sedar diri.
Seminggu Jibah terlantar tidak sedarkan diri dengan air liur meleleh keluar hijau seperti lumut, akhirnya dia mati. Selepas Jibah mati tidak lagi didengar rintihan Daboh setiap kali tiba waktu maghrib. Lajis, Mat Jol dan Rasip juga tidaklah lagi perlu membaca Yassin di atas kuburnya. Dua tahun kemudian Dukun Sood pun berpindah ke Segamat.
Sampai sekarang sudah lebih 20 tahun dia tinggal di Segamat. Anak saudaranya Mahmud yang mengajak saya berjumpa dengan Dukun Sood ini. Dia berpindah ke Segamat pun kerana bekerja dengan pemborong pejabat ukur. Apabila taukehnya membuat kerja-kerja ukur di Segamat, dia mengambil keputusan untuk menetap di sana.
Sesiapa pun tidak tahu mengenai dirinya pernah menjadi dukun sebelum  itu di Pahang. Anak saudaranya ini memang berasal dari Pahang, tetapi selalu juga dia menjengah Dukun Sood di Segamat. Dari Mahmud inilah saya dengar cerita mengenai pengalaman Dukun Sood mengubat Daboh yang dikatakan terkena badi itu.
 Dukun Sood termenung bila saya bangkitkan semula cerita Daboh ini kepadanya. Kemudian barulah dia mahu bercakap. Perlahan saja dia memberitahu saya, "Sebenarnya badi tu tak seberapa, ada rahsia lain lagi".
"Betul ke kubur Daboh tu ada bunyi?" tanya saya.
Dukun Sood mengangguk dengan wajah terharu. "Dia memanggil-manggil abangnya meminta tolong. Katanya panas tak tahan" ujarnya.
"Kalau dia hilang akal, macam mana boleh minta tolong?" saya mahu tahu lebih lanjut.
"Itu yang susah nak jawab" kata Dukun Sood lagi. "Perkara dah berlaku dua puluh tahun, susah nak cakap" jelasnya macam tidak mahu menerangkan lebih lanjut kepada saya. Tetapi setelah Mahmud memberitahu mengenai diri saya, barulah dia mahu menerangkan.
"Ustaz tentu lebih tahu dari saya, Huwa auwalu walakhiru walzahiru walbatinu, wahuwal aliyul azim" dia menatap muka saya.
Saya terangguk-angguk mendengarnya. Mungkin Dukun Sood tidak mahu lagi mengenangkan peristiwa tersebut. Tetapi disebabkan saya bertanya, mahu tidak mahu terpaksalah dia menerangkan. Lagipun Dukun Sood tidak mahu orang-orang di situ mengetahui dirinya pernah menjadi dukun.
"Saya tak berdukun lagi Ustaz, saya ni dah tua" dia merendahkan suaranya.
Disebabkan saya mahu sangat mengetahui rahsia kematian Daboh, Dukun Sood memberitahunya dengan rasa terharu.
"Sebenarnya, Sarip Kubung ternampak orang lelaki melompat keluar dari tingkap biliknya semasa baru balik dari surau" beritahu Dukun Sood. Peristiwa ini tidak sahih, kerana Sarip Kubung hanya terdengar bunyi orang terjun ke tanah kemudian lari. Dia bertanyakan kepada Jibah, tetapi Jibah sanggup menjunjung Quran mengatakan tidak ada siapa pun yang naik ke rumah.
Disebabkan Sarip Kubung orang yang kuat belajar agama, tidak beranilah dia menuduh Jibah berlaku curang terhadap dirinya. Bagaimanapun dia terpaksa memberitahu hal itu pada Dukun Sood. Memang Dukun Sood tidak percaya  Jibah boleh melakukan perbuatan demikian. Disebabkan Dukun Sood berkawan baik dengan ayah Sarip Kubung, dia menyuruh Sarip Kubung membuat sembahyang Tahajud selama 44 malam untuk membuktikan isterinya berlaku curang atau tidak.
Sarip Kubung melakukan seperti apa yang disuruh oleh Dukun Sood. Selepas 44 malam dia melakukan sembahyang Tahajud, didapati Jibah tidak ada apa-apa perubahan. Yakinlah dia dengan pendapat Dukun Sood bahawa Jibah tidak berdosa. Hanya perasaan cemburunya saja yang menyebabkan dia ternampak kelibat orang terjun dari tingkap.
Hatinya menerima kesucian isterinya dengan tenang dan bersyukur pada Allah. Jibah pula merasa senang hati kerana suaminya tidak lagi mengesyaki dia berlaku curang.
Tidak lama kemudian Sarip Kubung sekali lagi dirundung malang bila adiknya Daboh pula kena badi binatang hutan. Daboh jadi hilang akal selepas dikatakan berjumpa orang tua ketika menjerat ayam denak. Puas pula Sarip Kubung berusaha mengubat adiknya itu, tetapi akhirnya mati dalam keadaan mengerikan.
"Itulah kesan sembahyang Tahajud dan bacaan Yassin" keluh Dukun Sood mengingat-ingatkan kembali peristiwa 20 tahun lampau. "Memang benar Daboh yang terjun dari tingkap rumah abangnya, sementara isterinya berlaku curang dengan adiknya sendiri. Tapi saya rahsiakan ini dari Sarip Kubung..." ujar Dukun Sood dengan rasa terharu.
Sebab itulah dia berdalih mengatakan Daboh terkena badi binatang hutan semata-mata mahu menyembunyikan perkara sebenarnya. Daboh sendiri mengaku di depan Dukun Sood dengan penuh kesal, tetapi dia sudah tidak dapat menahan Sarip Kubung meneruskan sembahyang Tahajud dan membaca Yassin yang sudah dibuatnya hampir genap 44 malam itu.

No comments:

Post a Comment