Monday, 19 August 2013

sambung

Berjalan di waktu malam tentulah mereka bimbang perompak. Mana tahu mereka menanti di mana-mana, kerana perjalanan jauh seperti ini kereta tidak banyak lalu lalang. Kalau terjadi rompakan sesiapa pun sukar mendapat bantuan segera.

Apa lagi kalau kereta dilarikan nescaya mereka akan terlonta-lonta mencari pertolongan. Mungkin peronda lebuhraya ada membuat  rondaan, tetapi mereka sukar mengesan kejadian-kejadian sedemikian.

"Awak tak takut perompak?" tanya Razi lagi.

"Tak, saya tak takut" ujar Jenal terangguk-angguk.

"Tapi, saya takut kalau ada hantu, mana kita boleh lawan dia, sebab dia makhluk halus" jelasnya macam ketakutan.

"Jangan awak percaya benda-benda tahyol tu, Jenal" Razi menasihatkannya.

Jenal terdiam bila Razi mengatakan dia tak percaya kepada tahyol. Dia merenung ke hadapan saja memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan yang halus.

"Kawan saya dah kena bang" beritahu Jenal perlahan seolah-olah mengingatkan sesuatu.

"Dekat simpang Nilai itulah kawan saya kena. Dia pakai motorsikal sayalah, lalu di situ hari malam" katanya menyeringai menampakkan giginya yang rongak berkarat. Apabila dia mengangakan mulut terbau juga bau busuk wap mulutnya oleh Razi.

Dia terangguk-angguk merenung cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus. Sekali-sekala Razi mengerling juga ke arahnya sambil tersenyum seolah-seolah mengejek pemuda itu yang percaya sangat cerita-cerita tahyol. Malah sejak di restoran tadi Razi sudah diceritakan perkara-perkara tahyol demikian.

Hendak dikatakan dia tidak percaya langsung juga tidak boleh. Ketika anaknya selalu sakit-sakit saja, Ani mendesaknya berubat cara kampung. Sudah dibawa ke klinik pakar pun, namun doktor tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Kepala anaknya tumbuh bisul yang boleh beralih-alih benjolnya.

Apabila doktor mahu mengambil keputusan untuk dibedah saja, Ani berkeras tidak mahu. Dia bimbang anaknya akan cacat akal kerana sakit di kepala tidak boleh dipandang ringan. Ani mendesaknya supaya anaknya dibawa berubat di mana-mana. Kebetulan jirannya itu teman baik saya, maka teman baik itulah mengesyurkan Ani supaya menemui saya.

Kebetulan pula dengan izin Allah, setelah saya doakan sedikit kemudian meminta dia menukar nama anaknya yang sedap didengar tetapi ertinya dalam Bahasa Melayu tidak berapa baik, mudah-mudahan sembuh pula. Budak itu sihat sampai sudah bersekolah pun tidak pernah lagi sakit. Sebab itulah dia 'agih'kan budak itu pada saya mengikut kepercayaan orang-orang Melayu di kampung.Tetapi kalau tidak di"agihkan' pun tak mengapa.

Apa yang terjadi pada anaknya ini tidak pula dianggap tahyol oleh Razi, tapi kalau cerita-cerita lain terutamanya mengenai hantu saja cepat dia mengatakan tahyol. Dia tidaklah pula memberi alasan mengapa perkara itu tahyol, sebaliknya tidak percaya saja cerita-cerita mengenainya.

Dengan Jenal pemuda gigi rongak yang menumpangnya itu pun Razi tetap dengan pendiriannya tidak percaya cerita-cerita tahyol itu.

 "Dekat simpang Nilai tu, memang selalu orang jumpa bang" tegas Jenal mahu meyakinkan Razi. "Kawan saya ditahan oleh perempuan kat situ. Dia bawa perempuan tu naik motor saya" dia menambah.

Tersengih-sengih Razi mendengarnya cerita pemuda gigi rongak di sebelahnya. Mungkin pemuda itu sengaja mahu menakut-nakutkan dia saja, atau kerana terlalu percaya kepada cerita-ceriya tahyol. Mahu juga dia menempelak Jenal, tetapi tidak mahu pula mengecilkan hati kawan yang baru dikenalinya itu.

"Lepas tu dia terbau wangi sangat" ujarnya tidak beralih memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus. "Apa lagi perempuan itu pun mengilai laaaa" katanya ketawa kecil hingga wap mulutnya berbau busuk.

Cerita Jenal itu sudah kerapkali didengar oleh Razi. Masa makan malam di restoran tadi pun kawannya yang datang bersama kontraktor itu pun menceritakan perempuan menumpang motorsikal kawannya yang mahu balik ke Cheras. Sampai berhampiran dengan tanah perkuburan dia terbau wangi, kemudian perempuan yang membonceng motorsikalnya itu mengilai terus hilang dari pandangan. Sebab itulah motorsikalnya terbabas melanggar batu di tepi jalan.

Jenal juga mempunyai cerita yang seakan-akan sama, hanya tempat kejadian saja berlainan. Kawan Jenal itu juga jatuh terbabas melanggar tebing jalan setelah perempuan itu mengilai, kemudian hilang seolah-olah asap yang berkumpul ke udara. Seminggu kawannya itu terlantar di hospital besar Seremban. Sejak motorsikalnya itu kemalangan selalu saja motorsikalnya meragam.

Tetapi Jenal tidak peduli. Kalau motorsikalnya meragam pada waktu tengah malam apabila balik dari kerja, memang dia tinggalkan saja di tepi jalan. Besokya baru dia datang menengok. Dia tidak bimbang kalau orang mahu mencuri motorsikalnya. Selagi motorsikalnya boleh dipakai dia tidak akan mengganti baru.

"Sekarang cari duit susah, bang" beritahunya menjuihkan bibir. "Boleh pakai kita pakai dulu, rosak sikit-sikit kita repair" jelasnya tegas.

Razi menggangguk. Dia setuju juga dengan pendapat Jenal. Lebih baik dibaiki saja motorsikalnya kalau boleh digunakan. Lainlah kalau rosaknya sudah terlalu teruk, memang elok ditukar baru kalau duitnya mencukupi. Dalam masa duit perlu digunakan kepada hal-hal yang lebih manafaat, perkara menukar motorsikal itu memang baik dikemudiankan.

Tidak sangka pula dia bertemu kawan yang ramah di jalan. Kalau tidak ada Jenal menumpangnya, mungkin dia kesunyian juga. Ada Jenal di situ, ada jugalah kawan untuk dilawan berbual. Tidaklah sunyi sangat, walaupun Jenal lebih suka bercakap mengenai cerita-cerita tahyol saja.

"Sekarang dah dekat dengan simpang Nilai bang" Jenal menepuk bahu Razi. "Abang tak payah hantar saya ke dalam, turun kat simpang cukuplah" dia merendahkan diri.

"Tak apa, kalau jauh ke dalam biarlah saya hantar" Razi menawarkan diri.

"Tak apalah bang, terima kasih sangatlah. Rumah saya dekat aje dari simpang tu" katanya.

 "Awak tak takut ke apa-apa?" Razi cuba mengusik.

Jenal tertawa terbahak-bahak usikan Razi. Dia seolah-olah tahu Razi sengaja mempersendakan ceritanya tadi. Tetapi dia tidak berkecil hati. Dia tetap melayan dengan mesra usikan Razi itu.

"Kalau langsuyar tu perempuan, lebih baik saya pinang aje, buat apa takut" dia masih ketawa terkekeh-kekeh.

Razi juga ketawa dengan telatah kawan barunya itu. Tidak sangka pula Jenal pandai bergurau. Dari tutur katanya memang dia percaya Jenal seorang yang ramah dan mudah dijadikan kawan. Ada saja cerita hendak dibualkannya.

Simpang ke Nilai kira-kira masih ada 500 meter di hadapan. Kasihan juga hati Razi kalau mahu menurunkan Jenal di kepala simpang. Apalah salahnya kalau dia menolong sesama insan tatkala dia memerlukan pertolongan demikian. Hari sudah jauh malam sudah tentulah dia keseorangan mahu berjalan merempuh kegelapan, di samping hujan turun renyai-renyai.

Masakan Jenal budak jahat mahu merompak dia, dengan kawan-kawannya sudah menunggu di kepala simpang tersebut. Lagi pun apa sangat mahu dirompak oleh Jenal darinya. Perompak juga bukanlah merompak tidak mengira mangsa, mereka tentunya merompak mangsa yang telah diekori terlebih dulu. Mereka sudah tahu berapa hasil rompakannya apabila menahan mangsanya.

 Sebab itulah dia bersedia untuk menghantar Jenal sampai ke pekan Nilai. Lagipun pekan Nilai tidaklah jauh dari simpang tersebut. Selepas menghantar Jenal dia boleh balik semula untuk terus ke Pulau Sebang.

"Saya boleh hantarkan awak, hari hujan tu..." beritahu Razi bila sudah ternampak papan tanda menunjukkan simpang ke Nilai lebih kurang 500 kilometer.

"Tak apalah bang, hati abang ni cukup baik sangat. Cukuplah turunkan saya di kepala simpang" Jenal tetap merendahkan diri.

"Tak takut perempuan tunggu di situ?" Razi tersengih-sengih mengusiknya.

"Ah, saya dah biasa dengan hantu-hantu ni, bang" dia tiba-tiba tertawa terbahak-bahak.

"Awak pernah tengok hantu ke?" tanya Razi selamba.

"Memang pernah bang" beritahu Jenal masih juga tertawa.

"Macam mana rupanya?" Razi sengaja mengusik lagi.

 "Macam sayalah" katanya ketawa lebih nyaring.

Razi berpaling melihat Jenal, kerana pemuda itu mengatakan rupa hantu seperti rupanya. Ketawanya nyaring tidak sama seperti mula-mula tadi. Apabila Razi melihat Jenal hatinya berdebar. Pemuda di sebelahnya tadi sudah berbau lebih busuk, matanya macam bola api di kaca, tulang pipinya tersembul keluar, rambutnya ada tompok-tompok darah. Kepalanya seolah-olah tengkorak yang mengerikan.

Terpaku Razi melihat kawan di sebelahnya itu. Dia tidak dapat mengawal keretanya lagi, lantas merempuh batu divider jalan. Keretanya melambung sampai lima enam kali terbalik.

Esoknya bila saya dan keluarga pergi ke majlis perkahwinan adik Ani di Pulau Sebang, saya diberitahu Razi terlibat dalam kemalangan semasa balik pada sebelah malamnya. Majlis perkahwinan itu diteruskan juga walaupun Razi dimasukkan ke hospital besar Seremban. Selepas majlis perkahwinan itu, saya bersama-sama Ani melawat Razi di hospital.

Ketika saya sampai Razi sudah sedar. Dia sudah boleh berkata-kata walaupun kakinya bersimen. Kepalanya juga cedera dan masih berbalut. Bagaimanapun dia sempat menceritakan pengalamannya itu kepada saya.

"Itulah awak, sikit-sikit tahyol, sikit-sikit tahyol" Ani mengejek dia.

Tetapi Razi tidak menyahut. Dia mula memikirkan tentang cerita-cerita yang dikatakkan tahyol sebelum ini. Sepanjang dia bercerita dengan saya itu, dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Macam rasa mimpi aje, Ustaz" katanya menahan kesakitan yang dideritainya. Saya hanya tersenyum saja mendengar ceritaya. Kerana perkara-perkara demikian memang sukar mahu diceritakan kepada orang lain, kecuali orang yang pernah mengalaminya saja dapat memahaminya. "Ada orang cakap, tempat saya jumpa budak tu, tempat orang mati eksiden motorsikal dulu. Dah ada juga dua tiga orang terjumpa hal macam saya ni" jelas Razi lagi macam kesal sangat mengambil keputusan terburu-buru balik pada sebelah malam tadinya. 
Saya mengangguk-anggukkan kepala saja, kerana ceritanya seperti Razi ini, tidak ada yang mustahilnya kepada saya. Semua boleh berlaku dengan izin Allah.

No comments:

Post a Comment