Monday, 19 August 2013

sambung

"Dia nak pisahkan kita!" ujar perempuan tua itu lagi. "Kalau dia datang dekat, aku rasa tubuh aku terbakar. Sebab itu kita mesti jauhkan dia dari berkawan dengan Meon. Aku tak tau apa ilmu yang dia pakai" perempuan tua itu menangis teresak-esak sambil menggeliat-geliat seperti menanggung bahang kepanasan.
Lelaki itu tetap mendiamkan diri. Dia mengusap-ngusap rambut yang menggerbang putih. Sekali sekala saya nampak muka perempuan tua itu berubah menjadi Simah. Tetapi apabila saya hembuskan ayat Hazihi jahannamullati kuntum tu 'adun, wajah tersebut tidak jadi bertukar.
Dari situ dapatlah saya fahamkan bahawa memanglah sukar mahu mengubati Simah, kerana gangguan yang datang itu bukanlah datangnya dari luar. Gangguan ini datang dari keluarganya turun temurun yang pernah menyimpan pelesit. Apabila pelesit itu sudah tidak bertuan, maka dia mencari keturunan tuannya sebagai sumpahan untuk mencari naungan.
Simah yang tidak tahu apa-apa tidaklah mahu menerima kedatangan pelesit yang berasal dari datuk nenek moyangnya dulu. Inilah yang selalu mengganggu dia kerana dirinya sudah terpisah jauh dari pelesit tersebut, sedangkan pelesit berkenaan cuba mendekatkan dirinya.
 Sebab itulah pelesit berkenaan menjadi seperti orang yang diganggang oleh api bila berdekatan dengan orang-orang yang mengamalkan membaca Suratul Kursi setiap hari. Mungkin Simah sendiri tidak tahu tentang asal usul datuk nenek moyangnya dulu ada memelihara pelesit.
"Jauhkan dia dari sini" rayu perempuan tua itu kepada lelaki tua yang berdiri di sampingnya. Lelaki tua itu menghentakkan kakinya ke tanah tiga kali. Kemudian beribu-ribu belalang menerpa ke arah saya. Sebaik saja belalang-belalang itu mahu menerpa saya hembuskan Fatihah, menyebabkan semuanya gugur ke bumi seperti dibakar api. Terasa saya seakan-akan lemas akibat bau hangit belalang terbakar.
Merah padam muka lelaki tersebut melihat semua belalangnya habis terbakar. Semua belalang yang jatuh itu tengkuknya terpatah dan keluarlah seulas nasi dan sehelai rambut dari tengkuk terpatah itu.
"Aku datang mencari anak cucu aku..." lelaki tua itu bersuara keras. "Tak patut awak putuskan hubungan kasih sayang kami" katanya kesal dengan sikap saya menghalang tindakan dia.
"Simah tak perlukan awak lagi" sahut saya membentak. "Dia perlukan Meon, biar Meon yang jaga dia. Awak tak perlu jaga dia" ujar saya memarahinya.
Ketika saya menyahut kata-katanya dia menyimbahkan air ke atas bangkai-bangkai belalang tadi. Sekaligus bangkai-bangkai terbakar itu menjadi kepulan asap hitam yang berjurai-jurai seperti rambut. Juraian rambut menyerkup ke kepala saya menyebabkan pandangan saya gelap tidak kelihatan apa-apa lagi.
Namun saya tetap bertenang menghadapi tekanan-tekanan seperti ini. Semua yang saya hadapi itu adalah tipu daya syaitan belaka.
Beberapa ketika saya terperangkap dalam juraian rambut itu, hingga  hampir-hampir meliliti seluruh tubuh saya. Lalu saya bacakan Surah Waddhuha sepuluh kali. Tiba-tiba juraian rambut itu melayang ditiup angin.
Lelaki tua itu semakin marah kerana rambut yang menyerungkup ke kepala saya tadi diterbangkan angin. Itulah pertama kali serangannya sampai ke tubuh saya. Memang kesilapan telah saya lakukan membiarkan dia menyerang sambil melayani dia bercakap.
Tok Aji pernah mengingatkan saya supaya tidak melayani syaitan apabila berhadapan dengannya. Kalau menentang syaitan mestilah digempur sampai mereka kalah. Sekiranya kita melayaninya, sudah tentulah kita termasuk ke dalam perangkap tipu dayanya untuk melalaikan kita.
Setelah teringatkan Tok Aji, saya pun menguatkan zikir saya. Saya membaca beberapa ayat yang diajarkan oleh Tok Aji. Ketika ini seluruh kawasan itu bergoncang kuat seperti gempa disambut oleh petir serta kilat. Orang tua lelaki dan perempuan itu berlari-lari mahu menyelamatkan diri. Batu-batu dari atas bukit juga gugur melayang menerjah ke arahnya.
Mereka berdua menjadi panik dengan gempa yang datang secara tiba-tiba. Saya tetap berdiri di tengah-tengah gempa itu memerhatikan mereka berdua berlari ke hujung ke pangkal mencari tempat selamat. Tetapi ke mana saja mereka berlindung petir dan kilat menyambar. Mereka terpelanting apabila disambar kilat dan petir bertalu-talu.
Termengah-mengah mereka mencari tempat perlindungan. Akhirnya mereka lesap di dalam kepulan asap di tengah-tengah dentuman petir serta kilat menyambar. Setelah mereka berdua hilang saya memberhentikan bacaan. Lama saya menunggu di situ, namun dia tidak muncul-muncul lagi.
Saya rasa buat sementara itu dia tidak akan datang lagi mengganggu. Bagaimanapun mereka tetap akan berusaha untuk meneruskan cita-citanya untuk bernaung kepada Simah. Hal inilah yang mahu saya beritahu pada Meon, supaya dia sendiri mesti mempunyai persediaan menghadapi kemungkinan tersebut.
Setelah yakin mereka tidak akan mengganggu lagi, saya meninggalkan kawasan hutan di pinggir bukit itu, dan kembali berdiri di dalam diri. Apabila saya membuka mata, saya dapati Simah sudah pulih semula. Tetapi keadaannya masih letih lagi.
Rupanya ketika saya menghadapi suasana sengit tadi, Jamlus dan rakan yang pergi menjemput dukun ke Sungai Pusu sudah balik. Mereka berdua hampa kerana dukun berkenaan sudah pun dijemput oleh orang di Damansara. Sehingga hampir pukul 2.00 pagi mereka menunggu, dukun itu tidak juga balik. Akhirnya terpaksalah mereka mengambil keputusan balik semula ke rumah Meon.
Jamlus bertanyakan kepada saya siapakah yang melakukan gangguan itu. Saya hanya tersenyum dengan soalan demikian. Selalunya begitulah pertanyaan yang diterima apabila menghadapi masalah demikian. Sepatutnya mereka bersyukur kerana dapat menjauhkan diri dari gangguan syaitan. Siapa yang membuat gangguan itu tidak harus difikirkan lagi.
Apabila saya tanyakan kepada Simah, sama ada terdapat di kalangan keluarganya di masa lalu yang menjadi dukun atau bomoh, Simah memberitahu ayah kepada moyangnya dulu memang dukun terkenal. Tetapi selepas peringkat moyangnya, dia tidak lagi mahu menjadi dukun hinggalah sampai kepada beberapa keturunan seterusnya.
"Saya sedar apa yang berlaku ke atas diri saya" ujar Simah dalam keletihan. "Tetapi saya tak dapat nak mengawal diri, macam ada kuasa lain yang mengawal saya.." jelasnya bila mengingatkan peristiwa sebentar tadi.
Memang saya akui cerita Simah itu. Memang mereka yang menerima gangguan ini sedar apa yang sedang berlaku. Tetapi mereka tidak dapat mengawal dirinya sama ada bercakap atau bertindak. Kejadian demikian memang aneh, tetapi itulah hakikat yang sebenarnya.
Apabila saya menerangkan kepada Simah mengenai belalang pelesit, dia teringat aruah neneknya pernah memberitahu tentang keluarganya dari keturunan dulu memang memelihara pelesit. Semasa Tok Bani meninggal dunia dia tidak sempat menurunkan pelesit peliharaannya itu kepada anak cucunya. Maka pelesitnya itu sentiasalah mencari anak cucu Tok Bani untuk tempat bernaung.
Apabila pelesit itu tidak dapat bernaung maka anak cucu Tok Bani pun menjadi mangsa. Adik nenek Simah itu pernah menjadi lumpuh dengan tidak bersebab. Penyakit lumpuhnya itulah yang membawa maut kepadanya. Selepas dia meninggal dunia akibat lumpuh, seorang lagi keluarganya mati muntah-muntah darah seperti termakan racun.
Hingga sampailah kepada bapa saudara Simah bernama Jana, dengan tidak semena-mena diserang penyakit lemah tenaga batin hingga menyebabkan dia menjadi tidak siuman.
Ketika mengubat Jana inilah Dukun Busu mendapat tahu tentang Tok Bani menyimpan pelesit. Dukun Busu mencari punca-punca Jana hilang tenaga batin hingga menjadikan dia tidak siuman. Dia mendapati pelesit Tok Bani yang sudah tidak bertuan itu mencari perlindungan kepada Jana. Disebabkan Jana tidak tahu bagaimana mahu memeliharanya, maka pelesit itu telah memakan tuan sendiri.
Tidak siapa pun tahu Tok Bani memelihara pelesit. Malah isterinya sendiri Yong Saenah tidak tahu mengenai pelesit yang dipelihara oleh Tok Bani. Setelah berkahwin dengan Yong Saenah dia mendapat dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Selepas itu Tok Bani jatuh memanjat pokok menyebabkan dia patah pinggang.
Akibat dari kecederaan itulah Tok Bani hilang tenaga kelelakiannya. Bermula dari situlah keretakan rumahtangganya bermula, bila Yong Saenah mula bermain gila dengan anak muda. Tok Bani tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kononnya Yong Saenah telah menggunakan bomoh untuk menundukkan Tok Bani. Walaupun Tok Bani tahu isterinya bermain gila dengan pemuda lain, dia tetap membisu saja.
Satu hari telah berlaku pertengkaran di antara Tok Bani dengan isterinya Yong Saenah, berpunca dari perbuatan Yong Saenah yang bermain gila itu.
"Kau dah tak ada jantan, buat apa nak cemburu" kata Yong Saenah menyindir. "Kau dah mati pucuk, takkan boleh nak pandang alu sengkalan aje sepanjang masa..." ujar Yong Saenah mencabarnya. Kata-kata Yong Saenah itu benar-benar menghiris perasaan Tok Bani.
Bagi mengubat hatinya yang luka, Tok Bani selalu membawa diri bila terdengar ada anak muda datang menemui Yong Saenah. Perasaan marahnya tetap membara setiap kali terpandangkan wajah pemuda yang bermain gila dengan Yong Saenah. Ada juga hatinya mahu bertindak, tetapi terpaksa dipendamkannya saja bila teringatkan kata-kata Yong Saenah itu.
Satu malam, sebaik saja Tok Bani terlihat anak muda yang bermain gila dengan isterinya masuk ke bilik, dia pun keluar merayau-rayau ke dalam kampung dengan tidak ada tujuan. Ketika sampai berhampiran dengan kawasan tanah perkuburan dia terdengar bunyi budak menangis.
Terasalah belas kesihan di hati Tok Bani mendengar tangisan bayi yang sangat menusuk kalbu. Dia pun mencari arah bunyi tangisan bayi itu hingga sampai ke kawasan tanah perkuburan. Semakin di hampirinya semakin kuat bunyi tangisan bayi tadi. Tok Bani memberanikan hatinya untuk melihat siapakah yang menangis itu.
Sebaik saja sampai di tempat bunyi bayi menangis itu Tok Bani melihat satu bungkusan di dalam kain putih terselit pada perdu pokok mengkudu. Dia memegang bungkusan itu, terasa lembik saja. Apabila hendak dibukanya bunyi tangisan itu menjadi kuat dan menggerunkan.
"Aku hanya nak menolong kau..." satu suara halus menegurnya.
Bila diselidiki oleh Tok Bani ternyata bungkusan kain putih itulah yang berkata-kata dengannya.
"Siapa kau?" tanya Tok Bani keheranan.
"Aku pelesit" sahut suara itu.
 "Kau nak tolong aku?" dia merasa gembira bila ada orang yang sanggup menolong dia.
 "Iya, aku akan menolong kau..." pelesit itu memberi jaminan.
Pelesit itu sanggup memulihkan semula tenaga batinnya, dan menghapuskan siapa saja yang telah menodai Yong Saenah dengan menghilangkan tenaga batin orang itu pula. Malah dia juga berjanji akan menjaga harta benda Tok Bani dari diganggu oleh pencuri dan sebagainya.
Mendengarkan janji pelesit itu Tok Bani tidak berfikir panjang terus menerima saja pertolongan tersebut.
"Tetapi dengan syarat, kita sama-sama berteguhan janji" tegas pelesit itu selanjutnya.
Tok Bani menerima juga syarat berteguhan janji itu.
"Syaratnya kau jangan buang aku, dan bila sampai masanya hendaklah kau serahkan aku pada waris kau untuk menjaga aku..." kata pelesit itu lagi.
Tidak ada bantahan apa-apa dari Tok Bani. Dia menerima saja syarat tersebut, kerana pada fikirannya syarat itu bukanlah susah sangat.
 "Setiap kali bulan mengambang kau datanglah ke sini, dan siramkan aku dengan darah ayam" pelesit itu mengingatkan dia.
Itu juga diterima dengan senang hati oleh Tok Bani. Setelah berteguhan janji Tok Bani pun membuka bungkusan tersebut. Dilihatnya seorang bayi belum bersifat sedang memegang botol kecil. Bayi itu menyuruhnya mengambil botol seperti botol susu itu, dan di dalamnya ada seekor belalang.
Tok Bani pun mengambil botol itu dibawa balik ke rumah. Disimpannya baik-baik botol berisi belalang tersebut.
Sejak itu siapa saja lelaki tidak berani lagi menggoda Yong Saenah. Siapa saja berani main gila dengan Yong Saenah alamatnya kena lemah tenaga batin seumur hidup. Puaslah mereka berubat ke mana-mana pun tidak akan dapat disembuhkan. Sementara itu Yong Saenah pula selepas itu sentiasa mahukan Tok Bani mendampinginya.
 Akhirnya dia sendiri tidak mampu lagi mahu melayani Tok Bani. Terpaksa pula Yong Saenah meminangkan ramai anak-anak gadis untuk menjadi isteri Tok Bani. Apabila Tok Bani meninggal dunia, botol berisi belalang itu dibuang oleh anak cucunya ke sungai, kerana pada sangkaan mereka belalang permainan Tok Bani saja.
Itulah cerita yang dapat diketahui oleh Dukun Busu, ketika dia mengubat penyakit Jana. Bagaimanapun Jana tidak dapat diselamatkan juga. Dia meninggal dunia setelah menderita sekian lama.
"Macam itulah cerita dari aruah nenek saya dulu" beritahu Simah termengah-mengah keletihan.
"Insya Allah..." kata saya perlahan dan merasa simpati dengan keadaan yang dialami oleh keluarga Simah itu. "Sementara kita bertemu Ulung Bahar, kita cuba buat lagi macam tadi. Moga-moga dia lari dari awak, sebab ianya bukan penyakit tapi benda permainan turun temurun" ujar saya menjelaskan kepadanya.

No comments:

Post a Comment