Tuesday, 20 August 2013

sambung

"Ha, ha...sekarang kau dah tunjukkan diri kau..." ejek Haji Madan meletakkan tapak tangannya ke kepala Masimah. Sekaligus gadis itu meronta-ronta sambil memekik kesakitan.
"His, belum apa-apa dah memekik, tadi kau tunjukkan kuat sangat..." ujar Haji Madan tersenyum sinis.
Masimah meronta-ronta tetapi tidak dapat melepaskan diri dari pegangan Jali Tenjot dan Mat Sunud. Ketika ini terdengar bunyi dinding berdegam seperti dirempuh kuat tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan merempuh dinding.
 "Halau dia tu, halau dia...!" pekik Masimah menuding-nuding ke arah saya.
"Dia tu orang jahat, dialah yang suruh aku ke mari" katanya ketawa mengejek.
"Setan memang nak laga-lagakan orang" sahut Haji Madan tidak melepaskan  tangannya di kepala Masimah.
"Kau fikir kami percaya dengan tipu muslihat kau? Ustaz tu baru tak sampai sejam datang" ujarnya merentap tangannya dari kepala Masimah.
Mat Sunud menyangka saya tersinggung apabila diludah oleh Masimah beberapa kali menyebabkan dia berkali-kali meminta maaf. Tetapi saya tidak hiraukan sangat kekeliruan Mat Sunud itu, kerana saya menyedari sewaktu sampai ke halaman rumah saya melihat seolah-olah terbayang satu cahaya seperti benang putih di bumbung rumah sampai mencecah ke awan.
Oleh itu sebelum naik ke rumah saya sudah membacakan Ayat Kursi 33 kali sehingga saya duduk berhampiran dengan Masimah. Kemudian saya berzikir halus di dalam hati, menyebabkan benang putih itu terputus hingga kedengaran oleh orang ramai bunyi berdegam memukul ke dinding.
"Ustaz ni orang jahat...!" Masimah tersengguk-sengguk menangis seperti orang putus asa.
"Engkau yang jahat, menyusahkan orang!" suara Mat Sunud keras mengherdik.
"Kami bukan kacau kau, kenapa kau kacau kami?" dia sudah mula memahami apa sebenarnya sedang mengganggu anaknya ketika itu.
Memandangkan keadaan Masimah bertambah garang, sedangkan Jabal mengerang-ngerang saja menahan kesakitan, saya pun meminta izin untuk memegang kepala Masimah. Dia memarahi saya sebaik saja tangan saya menyentuh kepalanya, tetapi saya membongkok merapatkan mulut saya ke telinga kanannya. Saya melaungkan azan perlahan 5 kali di telinga kanan, dan 5 kali di telinga kiri. Semasa saya melaungkan azan ini Masimah menjerit-jerit mengatakan petir dan kilat memusnahkan rumahnya.
"Ah, rumah ni elok, tak roboh pun. Tak ada pun kilat, tak ada petir..." Mak Icum yang mendiamkan diri sejak tadi tiba-tiba saja bersuara lesu.
"Cukup dulu..." kata saya kembali duduk di lunjur kaki Masimah.
"Kalau kau berdegil, aku akan timpakan kau dengan gunung" ujar saya memberi amaran.
Masimah mulai ketakutan merenung muka saya. Tubuhnya menjadi longlai tidak bermaya.
"Nah, lawanlah sangat" sergah Haji Madan mengejek.
Ketika ini saya melihat Jabal tidak mengerang-ngerang lagi. Dia hanya keletihan terlentang melepaskan lelah. Saya bangun mengangkat kepala Jabal menghembuskan perlahan dengan membaca Surah Al-Ikhlas 11 kali diikuti dengan Surah Al-Falak dan Surah An-Nas sekali. Selepas itu barulah Jabal menggosok-gosok matanya lantas meminta air untuk diminum. Dia sendiri seperti orang kebingungan kerana tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya dan isterinya yang akan menjalani upacara berinai dan seterusnya bersanding.
Mujurlah mereka berdua sempat diakad-nikahkan sebelum majlis berinai itu. Setelah diterangkan kepadanya bahawa Masimah masih tidak sedarkan diri, Jabal mengangguk lemah. Dia sendiri mengadu masih terasa sengal-sengal di kepalanya walaupun tidaklah sakit berdenyut-denyut lagi.
"Haji Madan, buat apa kau bawa Ustaz ni?" Masimah menggertap bibir tetapi tidak berani merenung muka saya.
"Ah, aku tak mau layan kau. Aku beri tempoh lima minit. kalau kau tak pergi tinggalkan Masimah, Ustaz ni akan timpakan gunung, aku akan ambil barang mainan kau tu!" tegas Haji Madan memberi amaran.
"Buatlah, apa kau nak buat" sahutnya tersengih-sengih memaling mukanya merenung ke bumbung atap. 
Saya ikut merenung ke atas memerhatikan bumbung yang direnung Masimah. Lantas saya membacakan innahu minal-Sulaiman wainnahu bismillahhir Rahmannir Rahim 10 kali, kemudian saya seolah-olah terlihat seorang perempuan tua berambut penuh uban termengah-mengah memerhatikan ikan sembilang di lantai menggelepar tidak mendapat air. Duri sembilang itu tertusuk kepada buah limau yang berbungkus kain putih diikat dengan benang, tetapi sudah terlepas dari tusukannya.
"Ustaz, kita mulakan...." kata Haji Madan bangun sambil meminta air sejuk segelas. 
Setelah diberikan air tersebut, Haji Madan menjulang gelas berisi air itu tinggi melampaui kepalanya, dan saya mendengar dia membacakan Ayat dari Surah Al-Jin Quluhiyya innahus tamaa nafarun minal-jinni...hingga beberapa ayat lagi. Kemudian saya menudingkan jari ke muka Masimah seolah-olah saya menuding ke muka perempuan tua yang mengadap ikan sembilang di lantai itu sambil membisikkan
"Sejuk kau, sejuk kau...aku kirimkan air batu...", sekaligus pula saya melupakan Masimah terbaring di hadapan saya. Ketika ini semua orang melihat Masimah terketar-ketar menahan kesejukan, hingga bibir dan jari kecut seperti terkurung di dalam air batu. Dalam masa inilah orang ramai mendengar satu letupan kecil di gelas yang dipegang olah Haji Madan.
Bila dia duduk semula sambil meletakkan gelas berisi air itu di hadapannya, semua orang melihat seekor anak sembilang sebesar ibu jari terkotek-kotek di dalam air. Tubuhnya terikat dengan benang yang bersambung pada sebiji limau berbungkus dengan kain putih. 
Kira-kira 15 minit kemudiannya barulah Masimah sedarkan diri semula. Hanya 5 bulan lepas kejadian itu, semasa saya dan Bumin singgah di rumah Haji Madan beliau menceritakan Jabal dan Masimah selamat disandingkan dengan tidak ada gangguan apa-apa. 
Tetapi Haji Madan sendiri terkejut bila diberitahu seorang dukun perempuan jauh dari situ, mati dalam keadaan mengerekot. Seluruh tubuhnya kecut seperti terkurung di dalam air batu.

No comments:

Post a Comment