Lelaki Gigi
Rongak
SEHINGGA pukul 11 malam Razi masih belum membuat keputusan untuk balik ke kampungnya di Pulau Sebang di Melaka. Tidaklah jauh sangat dari Kuala Lumpur ke Pulau Sebang, dalam 2 jam setengah pun boleh sampai. Anak dan isterinya sudah balik seminggu lebih awal, kerana persediaan adiknya yang akan berkahwin.Serba salah juga dia sama ada mahu balik malam itu juga atau pada esok paginya. Maklum sajalah kalau balik pada malam itu pun tidak ada gunanya kerana majlis pernikahan sudah pun berlangsung kira-kira pukul 9.30 malamnya. Dia sudah berjanji dengan isterinya Ani untuk balik juga ke Pulau Sebang pada malam tersebut, tetapi tidak jadi disebabkan urusannya dengan seorang kontraktor tidak selesai.
Kontraktor itu mengajak makan terlebih dahulu di sebuah restoran. Kalau dia menolak pelawaan kontraktor itu juga tidak berapa sedap, kerana mereka berdua sudah berkawan lama. Lagi pun upacara pernikahan tidaklah berapa penting sangat, kerana yang menikah itu adik isterinya. Lainlah kalau adiknya sendiri, tentulah dia penting untuk hadir sama sebagai wali kerana ayahnya sudah lama meninggal dunia.
Sebab itu Razi memenuhi pelawaan kawannya itu untuk makan malam. Bersama kawannya itu adalah lagi lima enam orang rakan berniaganya makan bersama, kerana mereka mahu berkenalan juga dengan pegawai muda seperti Razi. Dalam masa makan itu masing-masing bercerita juga mengenai cerita di tv yang sangat menarik.
Salah seorang darinya bercerita pula mengenai pengalaman seorang kawannya terserempak dengan langsuyar semasa balik ke rumahnya di Cheras. Tetapi Razi kurang yakin dengan cerita itu.
"Zaman moden ni mana ada langsuyar" Razi tidak percaya dengan cerita kawannya itu.
"Itu saya tak tau laa Encik Razi" jelasnya tersengih-sengih. "Tapi kawan saya tu ternampak seorang perempuan mahu menumpang motosikalnya. Bila perempuan tu dah naik, dia pun mengilai menyebabkan kawan saya itu terbabas jatuh motor" katanya mempertahankan kebenaran ceritanya.
Geli benar hati Razi mendengar cerita kawannya itu. Dalam zaman moden demikian pun masih ada juga orang mempercayai akan ujudnya langsuyar mengganggu manusia. Tetapi untuk menjaga hati kawannya itu dia tidaklah terus berhujah. Dia hanya tersengih-sengih saja mendengar cerita kawannya itu.
"Selalu orang terjumpa langsuyar di kawasan Cheras tu" ujar kawannya itu.
"Di situ ada kubur?" seorang kawan Cina bertanya.
"Memang di situ ada kubur" katanya mengerutkan dahi. "Bukan kubur Melayu saja, kubur Cina pun ada, kubur Kristian pun ada" jelasnya lagi.
Razi tersengih-sengih. Di Kuala Lumpur ini pun masih ada orang yang percaya tentang kemunculan langsuyar. Lainlah kalau kampung-kampung yang masih terdapat pohon-pohon rimbun, pokok-pokok nyiur yang tinggi melambai dan suasana malam yang sepi. Semua keadaan tersebut boleh menimbulkan ketakutan kepada mereka yang lemah semangat.
Di Kuala Lumpur suasana seperti itu tidak ada lagi. Cahaya lampu terang benderang di kiri kanan jalan. Kereta menderu di jalan raya sehingga sampai ke subuh, suasana tidak pernah sepi dengan lori-lori mengangkut barang bergema membelah malam. Masakan langsuyar berani muncul dalam keadaan seperti ini.
"Awak pernah jumpa langsuyar?" Razi menduga.
Kawan itu menggeleng kepala. Dia sendiri tidak pernah bertemu dengan langsuyar cuma mendengar cerita dari kawan-kawan saja.
Razi ketawa kecil mendengar jawapan kawannya itu. Macam mana kawan itu boleh percaya sangat sedangkan dia tidak pernah berjumpa. Sekadar mendengar cerita orang saja tidak boleh diterima sangat, kadangkala kilauan bayang pun mereka kata langsuyar disebabkan mereka lemah semangat.
Apabila balik dari makan di restoran berkenaan, Razi pun balik ke rumahnya di Ampang. Mula-mula dia merasa tidak dapat tidur, boleh bangun pagi sedikit, dan sempat sampai ke rumah mertuanya di Pulau Sebang kira-kira pukul 8.30 pagi. Selepas subuh, bolehlah terus bertolak balik.
Hingga pukul 11 malam dia merasa gelisah kerana tidak memenuhi janjinya kepada isterinya untuk balik kalau tidak ada apa-apa urusan lain, sebaliknya kalau ada hal dia akan cuba sampai ke Pulau Sebang jam 8.30 pagi besoknya.
Kerana hatinya berkata-kata lantas Razi mengambil keputusan untuk balik saja ke Pulau Sebang malam itu juga. Sebelum balik dia datang dulu ke rumah saya, kira-kira hampir jam 12 tengah malam dia sampai ke rumah saya. Ia memang selalu juga datang ke rumah saya tidak kira pukul berapa pun. Memang dia tahu saya tidak pernah merasa terganggu kalau ada orang datang pada tengah malam demikian.
Saya masih membaca buku semasa dia datang memberi salam. Saya pelawa dia masuk, tetapi dia bercakap dari dalam kereta saja.
"Saya nak balik malam ni juga Ustaz" dia memberitahu.
"Kata nak balik besok" isteri saya memotong sebaik saja tercegat di belakang saya.
"Balik jengah muka, nanti apa pula kata orang kalau besok baru nampak muka" ujarnya tersengih-sengih.
"Kau, balik seorang saja?" tanya saya.
"Ya Ustaz" sahutnya masih tidak keluar dari kereta.
"Jadi besok Ustaz datang ya, jangan tidak pula. Nanti, masam pula muka orang rumah saya" katanya mengingatkan.
Isterinya Ani berkuat mengajak saya ke majlis kahwin adiknya itu. Sebab itu dia desak Razi supaya datang dengan membawa keluarga saya sekali sekiranya balik pada sebelah pagi Ahad. Malah Ani sendiri lebih suka Razi balik pada hari Ahad daripada petang Sabtu.
Pada mulanya Razi bercadang mahu balik pada pagi Ahad, tetapi bila mengenangkan akan bertolak jam 6 pagi, tentulah tidak sedap mengajak saya bersama pada pagi demikian. Kalau mahu pukul 10 pagi pula, dia bimbang dituduh tidak mengambil berat hal keluarga isterinya. Ini semualah yang menjadi serba salah kepadanya.
Saya pun bersetuju akan pergi sendiri pada besoknya. Hubungan kami sekeluarga dengan keluarga mereka amat baik, jadi tidak sedaplah kalau tidak memenuhi permintaannya. Malah Ani sudah 'mengagih'kan anak lelakinya kepada saya. Pada mulanya budak itu sakit saja, tetapi selepas dibawa berjumpa saya, Alhamdulillah budak itu sihat. Itulah pun puncanya kami berkawan rapat.
"Saya balik dulu Ustaz, jadi besok saya jemput Ustaz ye!" katanya tersengih-sengih.
" Awak bawak kereta tu baik-baik Razi” saya mengingatkan sambil tercegat didepan pintu. “Malam-malam macam ni kalau mengantuk berhenti, tidur dulu. Lepas tu kalau nak jalan, baru jalan pulak" ujar saya supaya dia tidak tergopoh-gapah mahu cepat sampai.
"Baiklah..." dia memberi pengakuan.
Apabila dia meninggalkan rumah saya, Razi tidak ke mana-mana lagi. Dia teruslah balik mengikut highway Seremban. Ketika ini memang jam lebih 12 tengah malam. Cuaca juga sejuk, dan kereta juga tidak banyak lagi lalu lalang.
Selepas tol Kuala Lumpur, hujan mulai turun renyai-renyai. Razi tidak berani melarikan keretanya laju-laju kerana bimbang jalan licin. Dia memang selalu mendengar nasihat saya iaitu apabila membawa kereta janganlah terlalu laju. Walaupun pada sebelah malam demikian jalannya lapang, tetapi tidak ada gunanya membawa kereta terlalu laju.
Apa sangat mahu dikejar cepat-cepat, kerana tidak ada apa-apa yang mesti disegerakan. Kalau mahu mengejar majlis pernikahan, upacara tersebut sudah pun selesai, mungkin jam 10 malam lagi. Dia sampai di Pulau Sebang pun tentu semua orang sudah tidur, kalau ada yang berjaga pun hanya budak-budak main terup di penanggah. Mereka ini sengaja berjaga supaya penanggah tidak diganggu anjing atau apa-apa.
Hujan renyai-renyai tidak berhenti sepanjang perjalanan itu. Bagaimanapun ada juga kereta yang laju hingga memotong keretanya.
"Hah, nak mampus agaknya bawa kereta laju-laju" rungut Razi apabila keretanya dipotong oleh sebuah kereta BMW. Jalan lurus di highway itu tidaklah cepat sangat hilang cahaya lampu kereta di depan. Lama juga baru lampu kereta BMW yang memotongnya hilang dari pandangan.
Dalam masa dia memarahi kereta laju itu tiba-tiba saja seorang pemuda menunggang motorsikal memakai jaket hitam memotong keretanya. Berani sangat penunggang motorsikal itu melarikan motorsikal demikian lajunya pada malam tersebut, apalagi tatkala hujan renyai-renyai.
"Celaka motor ni, nak mampus lari laju-laju" gerutunya kerana meradang sangat dengan sikap penunggang motorsikal yang berani melarikan motorsikal terlampau laju dalam hujan renyai-renyai dan tengah malam pula.
Motorsikal itu juga lenyap dalam kegelapan malam, mungkin kerana larinya terlalu laju meninggalkan kereta dia jauh di belakang, mungkin juga cuaca terlampau gelap kerana hujan renyai-renyai turun tidak berhenti. Dari cahaya lampu keretanya memang hujan yang turun itu nampak jatuh halus-halus menimpa cermin keretanya. Sebab itu dia tidak nampak pandangan jauh di hadapan.
Walaupun tengah malam masih ada juga kereta lalu lalang sama ada di jalan menuju ke Seremban, begitu juga jalan menuju ke Kuala Lumpur. Kadang-kala dia perlu juga berhati-hati kerana ada tempat-tempatnya jalan sedang dibaiki. Berjalan berkereta pada waktu malam mata mesti cekap memerhati.
Tidak terasa pula mengantuk pada Razi. Untuk menghilangkan rasa mengantuk dia membunyikan radio.Setidak-tidaknya boleh juga mendengar siaran warta berita pendek atau ada juga lagu-lagu hiburan. Kalau dipasang kaset lagunya balik-balik itu saja. Lagi pun Razi lebih gemar mendengar radio dari kaset, kecuali kalau berjalan bersama isterinya, Ani lebih gemar mendengar kaset.
Melepasi saja simpang ke Bangi, Razi nampak dari cahaya lampu keretanya seorang pemuda menahan keretanya. Ternyata pemuda itu di dalam kesusahan kerana motorsikalnya rosak. Dia cam betul bahawa pemuda itu adalah penunggang motorsikal yang memotong keretanya tadi.
"Tolonglah saya bang" kata pemuda itu merayu "Sampai kat simpang Nilai cukuplah" ujarnya mahu menumpang kereta Razi.
Mula-mula curiga juga Razi, mana tahu perompak yang sengaja menyamar meminta pertolongan. Kemudian apabila sampai di pertengahan jalan kawan-kawannya sudah menunggu. Sudah tentu dia terperangkap dengan tipu muslihat perompak begini. Bagaimanapun dia sudah behenti apabila ditahan oleh pemuda berkenaan. Serba salah juga dia kalau menolak permintaan pemuda itu.
"Janganlah takut bang, saya bukannya budak jahat" dia semacam tahu apa yang difikirkan oleh Razi. "Motor saya buat hal pulak, saya nak balik ke Nilai. Saya kerja Polis Bandaraya, janganlah abang bimbang" katanya membuka jaket hitamnya.
Memang benar dia memakai uniform polis bandaraya. Setelah merasa yakin pemuda itu tidak berbohong, dia pun membenarkannya menumpang.
"Nanti, saya letakkan motor saya ke dalam sikit" katanya tersengih menampakkan giginya yang rongak. Kemudian dia menolak motorsikal itu ke lorong tempat jual buah-buahan. Setelah merasakan motorsikalnya selamat dan tidak akan diusik orang, pemuda itu naik ke kereta Razi.
"Malam-malam macam ni mana nak cari Formen" keluhnya lantas menghulurkan tangan bersalaman dengan Razi. "Nama saya Jenal, duduk kat Nilai. Berulang-alik aje kerja di Kuala Lumpur" jelasnya sambil membetulkan leher baju uniformnya. Jaket hitamnya diribanya saja.
"Saya Razi" beritahu Razi perlahan.
"Abang nak ke mana?" tanyanya pula. "Balik kampung" ujar Razi.
"Kampung abang di mana?" dia menyandarkan badannya.
"Pulau Sebang" beritahu Razi ramah. Dia sudah yakin bahawa pemuda itu seorang polis bandaraya, bukan perompak.
"Berjalan malam macam ni, perompak saya tak takut" kata Jenal tersengih-sengih menghadapkan mukanya kepada Razi. Jelas pada Razi giginya rongak apabila dia tersengih-sengih itu.
"Habis awak takut apa?" Razi menduga.
Dia tidak terus menjawab, tetapi kepalanya berlenggok-lenggok mengikut irama lagu di radio.
"Awak takut apa?" ulangi Razi mahukan kepastian.
No comments:
Post a Comment