Monday, 19 August 2013

sambung

Aki Sahak membacakan sesuatu lalu berterbangan panah dari api menerkam ke arah lembaga besar itu. Serentak dengan itu Pak Tua Mahat pula menghembuskan ke arah lembaga tersebut hingga terlempar rantai besi melilit seluruh tubuhnya. Pak Tua Mahat dan Aki Sahak terus menyerang dari berbagai sudut.
Bukan saja rantai besi melilit tubuh lembaga besar itu, di samping panah api datang dari segenap penjuru, petir juga berdentum membakarnya. Batu sebesar gunung menimpa kepalanya.
"Kau tipu aku Mahat. Kau berdua dengan Sahak, aku berseorangan. Mana boleh aci macam ni..." dia menggeliat-geliat menahan serangan bertubi-tubi.
"Aku suruh kau tinggalkan Mat Tera!" suara Pak Tua Mahat semakin keras. Dia tidak berhenti dari terus menyerang. Habis satu ayat, dibacanya ayat yang lain. Berhenti batu sebesar gunung menimpa kepalanya, datang pula panah api meradak. Lembaga besar itu terjerit-jerit menahan kesakitan.
 Jeritan itu dapat didengar oleh jiran-jiran yang menyaksikan melalui suara Aki Mat Tera yang menggeliat-geliat di tempat tidur.
Serangan Pak Tua Mahat ditambah lagi oleh serangan Aki Sahak yang tak putus-putus membaca Ayatul Kursi. Sehingga sampai 333 kali  Aki Sahak membacakan Ayatul Kursi terdengarlah rintihan dari lembaga itu meminta diberhentikan.
"Cukuplah, terseksa aku!" rintih lembaga itu merayu.
 "Kalau takut terseksa, pergi sekarang" perintah Pak Tua Mahat.
"Aku tak boleh tinggalkan anak aku" jelas lembaga itu mempertahankan diri.
 "Boleh atau tak boleh kau mesti tinggalkan Mat Tera!" tegas Pak Tua Mahat tidak mahu bertolak ansur pun.
"Ini anak aku" sahut lembaga itu berkeras.
"Sahak, teruskan..." Pak Tua Mahat menyuruh Aki Sahak terus membacakan Ayatul Kursi.
 "Jangan, jangan..." lembaga itu menangis teresak-esak melalui Aki Mat Tera yang terbaring lemah.
 "Tak tahan aku bahang api, panas..." ujarnya merayu-rayu.
"Aku beri tempoh lima minit" Pak Tua Mahat memberi amaran. "Kalau kau tak pergi juga, aku akan hancur musnahkan macam debu" katanya menggertap bibir.
Kelihatan Aki Mat Tera tidur nyenyak. Dia tidak bergerak lagi seperti mula-mula kedatangan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak datang. Saya yang duduk di lunjur kakinya bersama emak saya, dapat melihat ombak dadanya turun naik dengan kencang. Matanya lelap.
Sekali-sekala saya lihat mukanya memang menggerunkan. Pipinya sudah cengkung, sementara matanya jauh ke dalam. Tulang pipinya menungkal ke atas. Mukanya juga sudah menjadi kecil dan dagunya kelihatan terlalu panjang. Tetapi dia masih juga terlantar di tempat tidur.
Setelah lima minit, Pak Tua Mahat melihat ke dalam makrifat, dia dapati lembaga itu masih meriba Aki Mat Tera. Tetapi seluruh badannya sudah bertukar menjadi hitam akibat serangan bertalu-talu tadi.
 Bila menyedari Pak Tua Mahat kembali datang untuk menyerang bersama Aki Sahak, lembaga besar itu melepaskan Aki Mat Tera dari ribaannya. Melihat keadaan ini Pak Tua Mahat tahu lembaga itu sudah mengalah. Dia tidak sanggup lagi melawan.
"Ilmu kau berdua, bukan ilmu pawang. Aku tak tau apa ilmu yang kamu pakai" lembaga itu bersuara terketar-ketar.
 "Jangan tanya tentang ilmu, sekarang tinggalkan Mat Tera!" jerkah Pak Tua Mahat.
 "Kau mahu kami serang lagi...?" tanya Aki Sahak mengeraskan suara.
"Jangan, ampun...ampun" rintihnya menangis teresak-esak. "Aku tak tau jalan balik" katanya berpusing-pusing di sekeliling Aki Mat Tera.
 "Datang tau, balik tak tau ye..." Aki Sahak tidak mempercayai dalih lembaga tersebut.
"Tolonglah lepaskan aku. Bukakan ikatan aku..." lembaga itu merayu bersungguh-sungguh.
Pak Tua Mahat mengangguk. Dia bersetuju dengan permintaan lembaga itu mahu pergi dengan tidak diganggu. Ikatan yang dimaksudkan oleh lembaga itu ialah terletak pada Aki Mat Tera sendiri. Memang Pak Tua Mahat tahu mengenai ikatan lembaga tersebut dengan Aki Mat Tera.
"Kak Simit jangan terkejut..." bisik Pak Tua Mahat pada isteri Aki Mat Tera. "Selama ini Abang Mat Tera pakai ilmu salah, inilah yang menyeksa dia sekarang" beritahu Pak Tua Mahat.
"Habis, apa kakak nak buat?" Simit serba salah bila mendengar keterangan Pak Tua Mahat itu.
"Suruh orang bukakan lantai rumah sekeping, atap sekeping dan anak tangga bawah sekali" jelas Pak Tua Mahat.
 Apa yang dikatakan oleh Pak Tua Mahat itu dilakukan oleh orang. Papan lantai sekeping dikopakkan, atap juga dibuang sekeping, manakala anak tangga rumah juga ditetas pengikatnya. Setelah semuanya dilakukan, Aki Mat Tera pun meninggal dunia.
Apabila Aki Mat Tera meninggal dunia, mayatnya pun diselubungkan dengan kain. Mereka pun bersiap-siaplah untuk menguruskan pengebumiannya pada esok harinya. Ketika mahu memandikan mayat alangkah terperanjatnya apabila melihat mayat Aki Mat Tera sudah reput. Hanya tulang-tulangnya saja yang tinggal seolah-olah dia sudah lama meninggal dunia.
Memang benar Aki Mat Tera sudah lama meninggal dunia. Yang dilihat sedang sakit itu hanyalah lembaga yang memelihara dia. Lembaga itulah yang kuat makan. Dan lembaga itulah yang melarang Simit dari menjemput Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, kerana dia tahu orang-orang demikian adalah musuhnya.
Bila mengenangkan sumbangan Aki Sahak ini kepada orang ramai, saya rasa macam berdosa pula mahu berpindah dari situ disebabkan tidak senang dengan Aki Sahak. Saya seolah-olah mahu melarikan diri dari membantu dia di situ. Tetapi saya tidak sanggup membuat kerja-kerja seperti dilakukan oleh Aki Sahak itu.
Saya tidak mahu dijadikan tumpuan oleh masyarakat. Masalahnya berat kalau kita sudah mula mahu menerima harapan seseorang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Sedangkan semua kerja-kerja ini mestilah dibuat dengan ikhlas. Bila hati kecil kita sudah mempertikaikan sesuatu, maka kerja-kerja yang dilakukan itu sudah menjadi sia-sia.
Kadangkala timbul pula tomahan dari orang lain yang mengatakan cara yang dilakukan itu sama seperti bomoh yang mencari wang. Padahal bukan semua bomoh mencari wang melalui cara pengubatan mereka. Kalau mahu dikira upah memang tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Aki Sahak.
Apakah perasaan kita bila dikejutkan orang sewaktu mata baru mahu terlena tengah malam? Bagaimana kita mahu mencari nafkah apabila semalam-malaman berjaga merawat pesakit? Masyarakat hanya melihat dari satu aspek saja iaitu bomoh tidak mengeluarkan apa-apa modal apabila mengubati pesakit?
Inilah yang susah hendak dijawab.
Sebab itulah saya mahu melarikan diri dari tempat kerja-kerja demikian. Kadangkala kepala mahu naik pitam apabila terpaksa membacakan satu-satu ayat itu dengan kusyuk. Ayat-ayat tersebut bukannya dibaca seperti menghafal senikata lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak muda. Tetapi disekalikan dengan makrifatnya. Untuk mencapai tingkat itulah yang boleh menyebabkan kepala naik pitam.
Tetapi saya kesihan juga kepada Aki Sahak yang sudah mula mendapat bantuan dari saya. Tentulah dia kecewa sekiranya saya mengambil keputusan bertukar dari situ. Pernah juga Aki Sahak membisikkan kepada saya, sementara saya masih bertugas di daerah itu, mungkin Abang Amud bercadang juga mahu mendalami pengubatan cara ditidurkan ini.
Dalam masa berkira-kira mahu bertukar dari daerah itu hampir saya terlalai kerana Asar sudah masuk. Isteri saya juga sudah mengingatkan tentang Asar. Saya pun segera mengambil wudhuk di bilik air untuk menunaikan fardhu Asar berjemaah dengan isteri saya.
Perkara mahu bertukar itu sudah saya beritahu pada isteri saya. Dia juga tidak membantah tujuan saya, kerana selama ini memang dia sedari saya selalu saja dipanggil orang. Kadangkala terkuap-kuap di tempat kerja menahan mengantuk.
Pernah juga isteri saya bergurau dengan memanggil saya doktor tak berijazah. Tetapi saya tidaklah hiraukan sangat. Bukan saya yang meminta diri saya dipanggil, tetapi masyarakat di situ yang mahu mencari saya. Semenjak Aki Sahak menyuruh mereka mendapatkan saya kalau menghadapi gangguan syaitan, maka saya sudah menjadi tumpuan.
Asar itu seperti biasa kami terus berjemaah menunaikan fardhu Asar. Semasa masuk rakaat kedua, saya terdengar ada orang memanggil saya dari halaman. Terpaksa saya mendehem kuat. Kemudian meneruskan sembahyang saya hingga selesai. Setelah memberi salam saya wirid pendek saja.
Kemudian saya terus ke pintu hadapan menjengah siapa yang memanggil tadi. Sali tercegat di tengah halaman.
"Ada apa Sali?" tanya saya sambil mempelawanya masuk dahulu.
 "Tak payah masuklah ustaz..." sahut Sali tersengih-sengih.
"Aki Sahak panggil?" tanya saya menduga. Selalunya mereka datang berjumpa saya kerana disuruh oleh Aki Sahak.
Dia mengangguk.
 "Kalau macam tu, masuklah dulu" saya berkeras juga mengajak dia masuk dulu. "Masuklah, kita minum kopi dulu. Lepas tu barulah kita pergi. Tak apa tu, Aki Sahak dah ada cukuplah..." kata saya menyuruhnya masuk dulu.
"Elok kita cepat ustaz..." ujar Sali mendesak.
"Tak apa, masuklah dulu" ujar saya mendesaknya supaya masuk. Sali menjadi serba salah apabila didesak.
Mahu tidak mahu terpaksa juga dia masuk. Tetapi saya lihat dia di dalam keadaan rusuh. Mungkinkah ada gangguan di lombong? Saya rasa puaka air di lombong itu masih belum musnah lagi. Bukanlah satu perkara mudah untuk menghapuskan mereka sama sekali, kecuali kita hanya boleh menghalang niat jahat syaitan saja.
"Takkan nak cepat sangat" isteri saya pula keluar dari bilik menyindir. "Datang cuma nak ajak ustaz aje?" katanya terus berjalan ke dapur.
Sali tersengih-sengih.
Dia tidak banyak bercakap bila sudah duduk. Mungkin dia bimbang orang akan tertunggu-tunggu. Tentulah mereka menuduh dia tidak boleh diharap disuruh memanggil saya. Sepatutnya dia mesti segera datang semula membawa saya bersama.
"Apa halnya?" tanya saya.
"Abang Amud ajak ustaz cepat" dia memberitahu.
"Apa halnya...?" ulangi saya.
Sali terdiam. Susah benar dia mahu menerangkan kepada saya. Mengapa pula dia masih mahu menyembunyikan tujuan kedatangannya. Kalau dia disuruh oleh Abang Amud mendapatkan saya, mestilah saya hendak tahu jugak apa masalah Abang Amud. Sepatutnya Sali mesti memberitahu.
Tetapi dia tetap membisu. Sama seperti seorang gadis yang bekerja di pejabat daerah yang pernah menemui saya terlalu susah mahu menerangkan tujuannya. Dia mahu bercakap sama seorang saja dengan saya. Terpaksalah saya membawanya jauh sedikit. Dia memberitahu tentang seorang lelaki yang berjanji mahu mengahwini dia, tetapi masih juga enggan masuk meminang. Lelaki itu memberi berbagai-bagai dalih. Akhirnya menghilangkan diri entah ke mana. Gadis itu meminta saya membuatkan sesuatu supaya lelaki tersebut kembali kepadanya.
Masalah gadis tersebut tentulah tidak sama dengan Sali. Gadis itu terpaksa menyembunyikannya kerana masalah peribadi. Saya sendiri tidak tahu apakah caranya mahu menolong, kerana seperti saya katakan, saya bukanlah seorang bomoh.
Sedangkan gadis berkenaan menyangkakan saya seorang bomoh. Bagaimanapun saya nasihatkan gadis  itu supaya sembahyang Tahajud memohon kepada Allah supaya lembutkan hati lelaki yang telah merosakkan masa depannya itu dan datang menikahinya. Sama ada dia melakukan atau tidak, saya pun tidak tahu. Selepas itu saya tidak pernah lagi menemui gadis tersebut.
"Apa halnya?" soal saya lagi.
 "Abang Amud suruh ustaz cepat itu saja" jelasnya serba salah.
"Iyalah, cepat nak ke mana?" heran juga saya mengapa Sali tidak mahu berterus terang.
Sebenarnya kalau memerlukan saya cepat pun tidaklah penting sangat, kerana Aki Sahak sendiri mempunyai pengalaman yang lebih dari saya.
Pengubatan cara tidur yang sering saya katakan itu memang saya belajar dari Aki Sahak juga. Malah bukanlah perkara yang pelik, kerana ada kawan saya yang pernah bekerja di Sarawak memberitahu, di Sarawak juga pengubatan secara ini sudah meluas digunakan.
"Cepat, nak ke mana?" saya mendesaknya.
Belum sempat Sali menjawab, isteri saya sudah keluar membawa kopi bersama karipap yang sudah disediakannya. Sali terus terkebil-kebil mata memerhati isteri saya datang.
"Bagilah can ustaz rehat-rehat di rumah..." isteri saya mengusik.
"Abang Amud yang suruh jemput" beritahu Sali tersengih-sengih.
"Kalau ustaz selalu aje dijemput, saya ni macam mana?" ujar isteri saya. Sebenarnya isteri saya bukanlah menyindir, sebaliknya dia memang gemar mengusik. Kadangkala kalau orang nipis telinga mungkin mengatakan isteri saya menyindir. Tetapi dia memang tahu mengapa masyarakat di situ menjemput saya tergesa-gesa.
Disebabkan mereka tidak pernah mengalami pengubatan yang sering saya dan Aki Sahak lakukan, jadi mereka menyangka ianya satu perkara baru. Sebenarnya ilmu Allah bukanlah baru, ianya sudah ujud sejak lama dulu.
"Minumlah dulu..." pelawa isteri saya menghulurkan cawan kepada Sali. "Lepas tu nak ambil ustaz, ambillah. Tapi hantar balik tau..." katanya tersenyum.
Sali tersengih-sengih mendengar usikan isteri saya itu. "Abang Amud suruh ustaz datang fasal Aki Sahaklah" kemudiannya dia memberitahu.
 "Mengapa Aki Sahak?" tanya saya.
"Entah..." jelas Sali perlahan. "Sejak lepas Zohor tadi dia muntah darah. Fasal itu Abang Amud minta sangat ustaz datang cepat." katanya bercampur rusuh.
Tidak jadi saya meneguk kopi bila mendengar cakap Sali. Lantas saya suruh isteri saya bersiap-siap untuk menziarahi Aki Sahak. Dalam kepala saya mula timbul bermacam-macam soalan, bagaimana Aki Sahak yang sentiasa beringat itu, sekali sekala terlalai juga. Tetapi, inilah sifat insan.

No comments:

Post a Comment