Orang Besar Kena Sunat
SERBA salah juga Ulung Bahar kalau orang sudah datang memanggil di rumah. Kalau tidak pergi nanti dituduh orang mementingkan diri saja, kalau pergi pula kerja sendiri terbengkalai. Orang datang menjemput tidak kira siang atau malam. Walaupun diberi saguhati, tetapi tidak tergamaklah mengambil lebih. Takut juga dia akan tuduhan orang mengatakan dia bomoh cari wang.Dia sendiri tidak mahu dipanggil bomoh. Ulung Bahar tahu dirinya bukanlah bomoh. Tetapi entah mengapa orang ramai menganggap dia seorang bomoh.
Segalanya bermula ketika dia pergi ke rumah anaknya di Felda Air Kuning sepuluh tahun dulu. Jiran anaknya memberitahu anak gadisnya berumur 17 tahun digigit lipan, sudah tiga hari tidak baik. Sudah pun dibawa ke hospital, tetapi bisa lipan itu semakin bertambah pasang.
"Di mana digigitnya?" tanya Ulung Bahar.
"Paha..." beritahu jiran itu sugul.
Ulung Bahar sengaja menziarahi jiran itu setelah mendengar berita anak gadisnya digigit lipan. Adat berjiran kenalah ziarah menziarahi bila ada di antaranya mendapat susah.
"Lipannya dapat dibunuh?" tanya Ulung Bahar lagi.
"Tidak..." jiran itu menggeleng kepala. "Tak sempat saya nak bunuh, sebab cepat sangat dia menghilang masuk ke bawah tikar" ujarnya.
"Nampak lipannya?" Ulung Bahar ingin tahu.
"Nampak..Nampak..." jelas jiran tersebut. "Lipan bara, memang saya nampak lipan itu menyusup bawah tikar, kemudian hilang" katanya mengingatkan kembali peristiwa bagaimana anaknya digigit lipan bara.
Tiba-tiba saja anak gadisnya terjerit sebaik selesai makan malam. Dia menepis bahagian pahanya sampai lipan tersebut jatuh ke tikar. Cepat-cepat dia mahu memukulnya, tetapi cepat-cepat pula lipan berkenaan menyusup ke bawah tikar.
"Cuba bagi saya air sejuk" pinta Ulung Bahar.Dalam keadaan begini dia merasa patut juga membantu. Dia bukanlah mahu menunjukkan pandai, tetapi tidak mungkin bisa lipan bertambah pasang setelah tiga hari. Lagipun sudah dibawa ke hospital.
Jiran itu segera mengambilkan air sejuk. Hatinya gembira kerana tiba-tiba saja ada orang sanggup menolong anaknya digigit lipan. Tidak pula disangkanya Ulung Bahar boleh mengubati anaknya itu.
Kumat-kamit mulut Ulung Bahar merenung air sejuk di dalam gelas di tangannya. Pada mulanya dia mahu menyuruh gadis itu minum saja air tersebut, tetapi kemudian Ulung Bahar tidak jadi memberikan air tersebut pada gadis berkenaan.
"His, permainan orang..." Ulang Bahar mencebik bibir.
"Permainan macam mana tu Ulung?" tanya jiran itu keheranan.
"Tak usahlah kita panjangkan" sahutnya memerhatikan gadis itu masih mengerang kesakitan. "Tak ada bisa lipan, cuma perasaan dia saja sakit..." ujar Ulung Bahar sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuk pada bibir gelas.
"Permainan macam mana tu?" desak jiran itu lagi.
"Permainan orang muda..." kata Ulung bahar tersenyum.
Termenung jiran itu memikirkan maksud Ulung Bahar. Bila dia mengerling pada anaknya, gadis itu masih juga mengerang-ngerang kesakitan. Tidak mungkin anaknya berpura-pura sakit kerana dia sendiri melihat lipan bara tersebut jatuh dari paha anaknya. Lipan itu lari menyusup ke bawah tikar.
Sekaligus dia memukulkan jarinya kuat sedikit ke bibir gelas. Tiba-tiba terapung satu lembaga lipan diperbuat dari upih pinang di dalam gelas tersebut. Macam dibuat-buat saja nampaknya, gadis anak jiran itu pulih semula. Dia tidak merasa sakit apa pun.
Bila ditanya sama ada dia digigit lipan atau tidak, dia sendiri tidak tahu.
"Lipan apa pula...?"soalnya keheranan.
Cepat-cepat emaknya melihat bahagian paha yang digigit lipan itu. Tidak ada kesan langsung digigit lipan.
"Permainan orang..." ulangi Ulung Bahar.
Barulah jiran itu faham, rupanya ada orang yang sengaja mempermain-mainkan anaknya dengan memuja upih pinang tadi dengan digambarkan seperti lipan. Jadi, anaknya merasa seolah-olah digigit lipan, sebaliknya sakit bisa lipan itu hanya pada pandangan anaknya saja. Anaknya sendiri tidak menyedari apakah sebenarnya yang telah berlaku ke atas dirinya.
"Pulangkan sajalah Ulung..." jiran itu menggertap bibir. Marah sangat dia pada orang yang melakukan tipu daya demikian.
Ulung Bahar tersenyum. Dia tahu inilah sifat manusia mudah saja mahu membalas dendam apabila dianiaya. Sepatutnya seseorang mukmin wajib mendoakan orang yang menganiaya orang itu supaya insaf dan bertaubat.
"Kita pulangkan saja Ulung" desak jiran itu.
"Apa faedah kita dapat?" Ulung Bahar marah bila didesak demikian. Tidak sepatutnya jiran itu memaksa dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya.
"Biar dia jeran..." sahut jiran itu masih menyimpan dendam.
"Jangan berdendam" ujar Ulung Bahar mengingatkan. "Anak awak selamat cukuplah. Bersyukurlah pada Allah..." katanya macam menyindir.
Sejak itulah orang-orang di situ akan memanggil Ulung Bahar kalau mereka ditimpa sakit pening. Kadangkala mereka sanggup mengajak anaknya Dalip menjemput dia ke kampung. Tidak dapatlah Ulung Bahar mengelak lagi bila sudah ramai tahu mengenai kebolehannya.
Orang-orang jauh dari Gedangsa di Selangor, Hutan Melintang di Perak, di Sabak Bernam, Pengkalan Kempas di Port Dickson akan datang mencari Ulung Bahar, setelah mendapat tahu dari mulut ke mulut yang bermula di Felda Air Kuning itu. Keballah dia dianggap seorang dukun di kalangan masyarakat.
Malah Ulung Bahar juga pernah dipanggil ke istana bagi mengubat kerabat diraja. Pendek kata nama Ulung Bahar sudah dikenali oleh ramai pembesar-pembesar dan pegawai tinggi kerajaan. Jadi, macam mana dia hendak mengelak apabila ada orang menjemputnya.
Kalau sudah orang-orang besar memanggil tentulah serba salah mahu mengelak. Bila sudah pergi memenuhi jemputan orang-orang besar, tentu tidak sedap hati kalau mengelak dari menerima jemputan orang-orang kampung. Tentu mereka menuduh dia memilih pesakit kerana mengejar wang. Hanya orang-orang besar saja yang sanggup memberi wang banyak.
Tetapi bukanlah itu maksud Ulung Bahar. Dia terpaksa meninggalkan tanggungjawabnya mencari nafkah hidup, disebabkan selalu dipanggil mengubati orang. Walaupun dia tinggal bersama isterinya, disebabkan anak-anaknya semua sudah berumahtangga, tetapi tanggungjawab mencari nafkah hidup masih menjadi fardhu ain yang tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa.
Apakah pendapatannya tidak lumayan menjadi dukun? Perkara inilah yang sangat ditakutinya. Dia tidak mahu dituduh mencari nafkah hidup dengan berdukun. Walaupun tidak salah, tetapi tuduhan tersebut sangat menyeksa batinnya.
Inilah yang menyebabkan Ulung Bahar termenung panjang bila diminta datang ke Kuala Lumpur oleh seorang Orang Besar. Puas juga dia berfikir bagaimana caranya mahu mengelak, tetapi masih juga buntu. Malu juga dia mahu ke rumah Orang Besar itu, kerana apalah kurangnya ilmu bomoh-bomoh lain yang lebih terkenal.
Ulung Bahar merasa dirinya terlalu kecil bila dibandingkan dengan bomoh-bomoh terkenal yang sering datang ke Kuala Lumpur. Tetapi anak saudaranya yang berkhidmat di bawah Orang Besar mendesak dia. Anak saudaranya itu sudah diberi kepercayaan oleh Orang Besar itu untuk mencari dukun yang boleh mengatasi masalah dia.
"Jangan nak mengelak pula Ulung" kata Meon mendesaknya. "Nanti malu saya kalau Ulung tak mau datang" ujarnya penuh harapan.
"Kau lagi malu, kalau Tuan tu tak sembuh" Ulung Bahar mencari alasan.
"Sembuh tak sembuh kuasa Allah..." balas Meon.
"Hah, mohon sajalah pada Allah..." cepat-cepat dia memintas cakap Meon.
"Nak meminta pada Allah pun ada aturannya" kata Meon menyindir. "Ulung tahu aturannya, jadi kenalah Ulung tunjukkan aturannya" dia menambah sambil menghulur rokok pada Ulung Bahar.
Sukar juga Ulung Bahar mahu memberi keputusan. Pergi ke rumah Orang Besar tidak sama dengan rumah orang kebanyakan. Orang kampung seperti dia banyak kesulitan mahu datang ke rumah Orang Besar. Maklumlah orang sudah tua, lat-lat setengah jam mahu ke bilik air saja. Tentulah dia kekok mahu ke bilik air saja bila berada di rumah Orang Besar.
Begitu juga dengan makan minum. Pinggan mangkuk di rumah Orang Besar semuanya jenis mahal. Kalau tidak biasa memegangnya takut pula terlucut dari tangan dan terhempas pecah. Makan di rumah Orang Besar juga terpaksa pakai sudu dan garfu. Mencedok gulai tergigil-gigil dengan tangan kiri.
Ulung Bahar tidak biasa dengan suasana begitu. Dia lebih senang minum di koleh. Makan bertinggung lutut duduk di lantai. Ambil lauk cekup saja jari ke dalam piring gulai. Tentulah Meon akan malu kalau dia tidak tahu menyesuaikan diri dengan suasana di rumah Orang Besar.
"Bersiaplah Lung, kita ke Kuala Lumpur" kata Meon tidak sabar.
"Banyak kerja aku ni, Meon" sahut Ulung Bahar lemah.
"Ah, kerja-kerja tu Mak Lung boleh tengokkan" balas Meon mendesak lagi. "Urusan Ulung di Kuala Lumpur semuanya serahkan saja pada saya" tegasnya memberi jaminan.
Petang itu juga Ulung Bahar dibawa oleh Meon ke Kuala Lumpur menemui Orang Besar berkenaan. Terperanjat benar Ulung Bahar kerana terpaksa ditahan di pintu pagar sebelum dibenarkan masuk. Bagaimanapun setelah melihat Meon, mereka berdua pun dibenarkan masuk.
Dia dibawa masuk menemui Orang Besar berkenaan di bilik khas. Cuma mereka berdua saja di situ. Orang Besar itu kelihatan sihat segar bugar. Tidak ada tanda-tanda ianya berpenyakit. Dia berbual juga seperti orang biasa tidak kelihatan pun akan dirinya menderita sakit.
Ulung Bahar tidaklah bertanyakan tentang penyakit Orang Besar tersebut. Dia tidak perlu bertanya apa-apa. Kalau dia sudah bertanya samalah macam terlalu mengetahui semua penyakit. Seolah-olah dia bersedia mengubat semua penyakit.
"Saya ni nampak saja sihat Tok Ulung..." Orang Besar itu bersuara sebaik saja semua orang keluar dari bilik khas. "Sebenarnya saya ni sakit. Itulah nak minta tengok-tengokkan pada Tok Ulung" katanya ramah.
"Cuba-cuba bolehlah Tuan" sahut Ulung Bahar perlahan. "Saya ni pun bukanlah pandai sangat. Maklumlah orang kampung" dia merendah diri.
"Orang bandar pun bukan pandai sangat" sahut Orang Besar tersengih-sengih. Dia masih belum menerangkan penyakitnya pada Ulung Bahar.
"Bodoh orang bandar tak sama dengan pandai orang kampung" Ulung Bahar pula tertawa bila mengenangkan dirinya tiba-tiba saja menjadi penting. Hinggakan Orang Besar terpaksa menjemputnya datang ke rumah yang tersergam bagaikan istana. "Bodoh orang bandar panjang ikhtiarnya, pandai orang kampung diri sendiri pun tak terkemaskan..." dia masih merendah bila membandingkan dirinya dengan Orang Besar itu.
"Panjang ikhtiar pun panjang ikhtiar nak menipu bangsa" Orang Besar itu macam meluahkan perasaan hatinya. Bagaikan terpancar kekusutan dalam fikirannya di sebalik kemewahan hidup yang menyelubungi dia selama ini. "Terlalu ramai orang nak menipu bangsa sendiri sekarang ni" jelas Orang Besar itu lagi.
Terdiam Ulung Bahar mendengar kata-kata berupa rintihan yang terluah dari mulut Orang Besar tersebut. Dia bagaikan tenggelam oleh kekusutan fikiran yang menguasai dirinya. Inilah yang dapat dirasakan oleh Ulung Bahar sebagai kesan pertama apabila bertemu Orang Besar berkenaan.
Lama Orang Besar itu mendongak memerhati siling dengan keluhan memanjang selepas meluahkan perasaannya di depan Ulung Bahar. Kemudian perlahan-lahan dia bersuara. "Sebenarnya saya ni dah tak melawan lagi Tok Ulung. Dah puas saya berubat..."
Tersentak juga Ulung Bahar mendengar pengakuan terus terang Orang Besar tersebut. Tentulah hidupnya sebagai Orang Besar pun tidak bermakna lagi kalau menanggung beban seksa batin sepanjang hidup. Seseorang lelaki yang sudah hilang kelelakiannya samalah macam anak patung untuk menjadi hiasan di sudut rumah saja.
"Orang yang membuatnya saya tahu, tapi biarlah..." keluhnya menahan sebak di dada. Secara tidak langsung Orang Besar itu mengakui sudah berkahwin lain. Akibat dari perkahwinan itulah ada orang yang irihati menyebabkan tenaga kelelakiannya hilang.
Ulung Bahar tidaklah banyak bertanyakan apa-apa mengenai masalah yang dihadapi oleh Orang Besar tersebut. Tujuannya bukan hendak mengetahui bagaimana puncanya, tetapi cuba mengubati sekiranya diizinkan Allah. Kalau tidak berhasil bukanlah tanggungjawab dia lagi.
"Saya hanya mencuba Tuan, kalau tak berjaya janganlah sesal pula" beritahu Ulung Bahar.
"Tidak, tidak..saya faham Tok Ulung" cepat-cepat dia memintas cakap Ulung Bahar yang terlalu merendahkan diri itu. "Tok Ulung cuma berusaha, yang menentukan tetap Allah jua" katanya.
"Alhamdulillah, Tuan kata macam tu..." sahut Ulung Bahar tersenyum.
Ulung Bahar meminta disediakan geluk air. Dan dia akan memberitahu ketika yang baik untuk memulakan usahanya, sama ada waktu Maghrib, atau Isyak atau tengah malam. Ini disebabkan dia mahu melihat cara mana permainan sebelah pihak.
Segala yang dikehendaki oleh Ulung Bahar dipersetujui oleh Orang Besar. Malam itu dia tidak dibenarkan oleh Orang Besar mengikut Meon balik ke rumahnya di Gombak, tetapi disuruh menginap di rumah Orang Besar itu. Ulung Bahar disediakan bilik di situ untuk berehat, tempat tidur dan sembahyang. Selama di Kuala Lumpur dia dikehendaki menjadi tetamu Orang Besar tersebut.
Selepas menunaikan Isyak, Ulung Bahar memberitahu Orang Besar dia mahu memulakan usahanya mengubati masalah yang dihadapi Orang Besar. Beberapa orang kerabat terdekat Orang Besar ada sama setelah diberitahu mengenai Ulung Bahar akan mengubat itu. Memang kerabat terdekat Orang Besar sudah tahu masalah tersebut, malah mereka semua sudah berusaha menolongnya.
Fasal itulah Orang Besar menceritakan masalahnya kepada Meon. Ketika inilah Meon teringatkan Ulung Bahar di kampung. Lantas Meon menerangkan kepada Orang Besar akan kepandaian Ulung Bahar selama ini. Maka tidak bertangguh lagi Orang Besar menyuruh Meon memanggil Ulung Bahar. Segala perbelanjaan Meon membawa Ulung Bahar serta perjalanan Ulung Bahar selama berada di Kuala Lumpur adalah di bawah urusan Orang Besar.
Lebih kurang pukul 9.00 malam Ulung Bahar mula menarik geluk air ke depannya. Mulutnya kumat kamit serta matanya terpejam rapat. Sekali sekala dia membuka mata memerhati ke dalam geluk sambil menghembus perlahan-lahan.
Ketika ini Ulung Bahar sudah menguatkan zikirnya di dalam hati. Seluruh bulu romanya terasa meremang. Dia melihat dalam makrifat tentang masalah yang dihadapi oleh Orang Besar. Sekali sekala orang-orang yang melihat Ulung Bahar nampak dia mengerutkan dahi sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Ulung Bahar melihat seorang lelaki berpakaian seperti sami Budha tersengih-sengih menunggu kedatangannya. Lelaki itu dipenuhi dengan tangkal azimat di seluruh badan. Lelaki itu seolah-olah mempersilakan dia hampir kepadanya. Tetapi Ulung Bahar tidak mahu datang hampir. Dia membaca Fatihah tiga kali lantas dihembus kepada lelaki berkenaan.
Terpelanting lelaki itu bila dihembuskan dengan Fatihah. Mukanya merah padam menahan perasaan marah.
"Aku terima kau baik-baik, kau balas dengan jahat!" bentak lelaki itu cepat-cepat berdiri bercekak pinggang.
"Kau nak tunjuk pandai dengan aku, sekarang terima habuan kau pula" pekiknya mengambil debu tanah lalu dihembuskan ke arah Ulung Bahar.
Terasa pada Ulung Bahar ribut kencang mahu menerbangkannya, tetapi dia menguatkan zikir di dalam hati menyebabkan ribut kencang tersebut tidak dapat menerbangkan dia. Setelah ribut kencang itu berhenti, Ulung Bahar tidak nampak lagi ke mana lelaki tadi bersembunyi
No comments:
Post a Comment